fbpx

Baiki sistem saliran elak banjir jadi teruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI SEBALIK kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang telah bermula sejak 18 November lalu, pada masa sama kebanyakan daerah lain di Terengganu ‘kesejukan’ dilanda banjir gelombang pertama Monsun Timur Laut (MTL).

Banjir bermula 20 November lalu itu menjejaskan lebih 4,700 penduduk di tujuh daerah termasuk sebuah perkampungan kecil di Kerteh yang terletak di utara Kemaman.

Setakat semalam, seramai 31 mangsa masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Setiu.

Banjir pada musim tengkujuh memang sukar dielak di Pantai Timur termasuk Terengganu berikutan taburan hujan tinggi yang turun sepanjang bulan Oktober hingga Mac setiap tahun.

Namun, impak banjir boleh diminimumkan sekiranya isu pe­rancangan pembandaran terutama sistem perparitan dan saliran di negeri ini diberi perhatian.

Ia bukan setakat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, malah lebih penting memastikan sistem perparitan dan saliran di semua penempatan disambung ke sistem saluran utama.

Masih banyak perlu dilakukan setelah sistem perparitan dan saliran di kebanyakan tempat di daerah terjejas dilihat masih gagal menampung kapasiti air daripada pertembungan hujan lebat dan air pasang besar berlaku pada minggu lalu.

Kekurangan itu juga menyebabkan sebahagian mangsa terpaksa berada lebih lama di PPS ekoran kawasan perumahan mereka digenangi air yang sepatutnya mengalir keluar dengan cepat menerusi sistem saliran.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Mohd. Khairul Amri Kamarudin berkata, pembangunan yang tidak teratur dan terkawal turut menyebabkan kadar penyerapan air bawah tanah semakin menyusut.

Beliau berkata, pelan urbani­sasi tidak terkawal juga mengubah aliran air dan meningkatkan sidimentasi atau endapan di dalam sistem perparitan sedia ada.

“Senario itu menyebabkan keupayaan sistem perparitan dan saliran sungai untuk mengalirkan air ke laut menjadi semakin berkurangan.

“Ia sekali gus meningkatkan risiko banjir besar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Hanizan Deraman mengakui masih banyak perkampungan dan taman perumahan di negeri ini masih belum dihubungkan dengan sistem saliran utama.

Beliau berkata, ketiadaan sistem saliran penempatan yang dihubungkan sistem saliran utama telah meningkatkan risiko banjir setempat.

“Kami telah memohon peruntukan bagi menambah baik sistem saliran utama di negeri ini menerusi Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Saliran mesra alam tersebut dicadang dibina di Kampung Tok Mir, Kuala Nerus; Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu dan Kampung Pulai Serai, Dungun,” katanya.
Hanizan menjelaskan, kawasan-kawasan itu diberi keutamaan kerana sering dilanda banjir pada musim tengkujuh.

Beliau berkata, buat masa ini, JPS Terengganu telah menyelenggara semua infrastruktur sistem saliran di seluruh negeri ini.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan impak banjir pada musim tengkujuh kali ini.

“Kos selenggara terbabit menelan belanja sebanyak RM17.4 juta,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI