fbpx

Perak mahu capai KDNK RM123 bilion menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) ketika majlis pelancaran P3 di Hotel Casuarina@Meru di Ipoh semalam. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAPA

IPOH – Kerajaan negeri Perak berhasrat memperoleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM123 bilion menjelang 2030 menerusi Pelan Perindustrian Perak (P3) yang dilancarkan semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi pelan tersebut, sektor perindustrian disasarkan menyumbang sebanyak 25 peratus dengan nilai mencecah RM30.9 bilion.

“Dalam merealisasikan usaha menjadi negeri pilihan pelabur dan bagi melonjakkan lagi pembangunan sektor perindustrian serta menarik lebih banyak pelaburan langsung ke Perak, kerajaan negeri melalui InvestPerak telah menyediakan P3 yang berperanan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Pelan yang dilancarkan ini akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan prestasi sektor perindustrian Perak bagi tempoh 10 tahun sehingga 2030, bahkan selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang ditetapkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pelabur dan Pelancaran P3 di Hotel Casuarina@Meru di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelan itu menyasarkan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM47 bilion bagi tempoh 10 tahun di mana beberapa sektor utama berteknologi tinggi diberi tumpuan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan di Perak.

Antaranya, menurut Saarani, sektor elektrikal dan elektronik (E&E), automotif dan komponan serta kenderaan elektrik (EV), industri berasaskan mineral, bioteknologi, peranti perubatan dan lain-lain sektor yang berkaitan.

“Semua sektor ini telah dikenal pasti dalam mengetengahkan Perak sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing yang bukan sahaja berkeupayaan menarik pelaburan berteknologi tinggi malah turut membangunkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap P3 yang dilancarkan itu akan menjadi garis panduan dan penanda aras bagi setiap jabatan dan agensi kerajaan di Perak untuk sama-sama menggembleng usaha memajukan lagi sektor perindustrian negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI