fbpx

3 rakan dituduh rompak barangan kemas RM1.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
R. Gunasellan, 52; A. F. Adrian Raj Dominic, 29, dan R. Anandan, 35, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan merompak barangan kemas bernilai RM1.4 juta di tempat letak kereta berhampiran kedai emas di pekan Kuala Kangsar, tiga minggu lalu. - FOTO oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

KUALA KANGSAR – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak barangan kemas bernilai RM1.4 juta di tempat letak kereta berhampiran kedai emas di pekan Kuala Kangsar, tiga minggu lalu.

Tertuduh, R. Gunasellan, 52; A. F. Adrian Raj Dominic, 29, dan R. Anandan, 35, itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu bersama enam lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata jenis parang panjang terhadap Chong Yong Seng dan Tan Kang Chiat masing-masing berusia 26 tahun.

Kesemua tertuduh didakwa merompak harta dalam milikan kedua-dua lelaki itu iaitu pelbagai barangan kemas yang mengakibatkan kerugian bernilai RM1.4 juta.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kenderaan di Jalan Dato Maharajalela di Kuala Kangsar pada pukul 9.40 pagi, 6 November 2023.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Tulasi Ayaoo yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jumlah ikat jamin minimum diberikan terhadap anak guamnya itu atas alasan, kesemua mereka yang bekerja sebagai pemandu lori dan ejen pusat panggilan itu hanya memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 selain mempunyai tanggungan iaitu isteri dan anak-anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin di mana salah seorang adalah dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Hakim Rohaida juga mengenakan syarat tambahan iaitu kesemua tertuduh perlu melapor diri pada setiap bulan di balai polis terdekat sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 29 Disember depan.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, Gunasellan dan Anandan masing-masing didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin dan 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol kepada diri sendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI