fbpx

Penduduk sayu lihat bayi menangis tepi sawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bayi perempuan yang ditemui di atas jalan berhampiran sawah di Kampung Kubang Pangas, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Seorang penduduk terkejut menemui bayi perempuan yang ditinggalkan atas jalan berdekatan kawasan pembinaan jambatan berhampiran sawah padi di Kampung Kubang Pangas, di sini hari ini.

Menurut Mat Zuki Deris, 59, dia menemui bayi dipercayai baru lahir itu sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar isterinya ke tempat kerja pada pukul 7.30 pagi tadi.

“Pagi tadi saya tergerak hati untuk menggunakan laluan lain menghala ke kawasan tapak pembinaan jambatan.

“Sebaik melalui kawasan itu, saya ternampak bayi ditinggalkan atas jalan dengan dilapikkan kain pelekat dan kain batik dalam keadaan menangis,” katanya ketika ditemui.

Mat Zuki kemudian menepuk badan bayi itu sebelum memaklumkan penemuan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk lain.

“Bayi itu lengkap berpakaian dengan sarung tangan serta diselimut kain lampin. Terdapat kesan seperti darah kering. Penduduk segera membawanya ke surau terletak kira-kira 300 meter dari lokasi itu dan memberikannya susu.

“Alhamdulillah, saya nampak bayi comel itu dalam keadaan baik. Dia dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans,” ujarnya.

Mat Zuki menyifatkan tindakan individu yang membuang bayi tersebut sebagai kejam kerana lokasi berkenaan sunyi selain terdedah kepada haiwan berbisa seperti ular.

“Kawasan itu berdekatan dengan sawah, banyak biawak dan anjing liar. Nasib baik saya tergerak hati hendak menggunakan laluan itu. Jika tidak saya tidak tahu apa nasib yang bakal menimpa bayi itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mencari individu yang terlibat dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI