fbpx

Muhyiddin gagal dapat semula pasport tanpa syarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal dalam permohonan untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsa secara kekal dan tanpa syarat di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati bekas Perdana Menteri tersebut masih mempunyai tiga lagi pertuduhan membabitkan kes pengubahan wang haram.

“Selepas meneliti dan menimbang segala hujahan yang dikemukakan semua pihak, mahkamah berpuas hati dan memutuskan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk mengubah jaminan bon dan melepaskan pasport antarabangsa pemohon tanpa syarat seperti dalam notis permohonan adalah ditolak.

“Mahkamah mendapati pemohon masih lagi mempunyai pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), pemohonan untuk membatalkan pertuduhan itu difailkan akan didengar oleh mahkamah ini.

“Sehubungan itu, mahkamah mendapati adalah suatu pramatang dan tiada keperluan pada tahap ini untuk mahkamah mengubah syarat jaminan bon,” kata hakim itu.

Bagaimanapun permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport sementara untuk ke luar negara iaitu di London, United Kingdom (UK) dan Dubai bermula 15 Disember ini hingga 11 Januari 2024 dibenarkan mahkamah.

“Pemohon perlu mengembalikan pasportnya sebelum atau pada 15 Januari 2024,” kata hakim itu.

Dalam prosiding terdahulu, peguam yang mewakili pemohon berhujah bahawa perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu untuk mahkamah menyerahkan kembali pasport tanpa syarat kerana anak guamnya tidak pernah gagal menghadiri prosiding mahkamah sejak kes jenayah dihadapinya.

“Anak guam saya juga memegang beberapa jawatan penting di negara ini iaitu masih Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Bersatu, selain memiliki beberapa aset di Malaysia,” katanya.

Sementara, pihak pendakwaan dalam hujahnya tetap berpendirian membantah permohonan itu kerana pemohon masih menghadapi tiga lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

“Pemohon masih berdepan pertuduhan yang serius dan berkemungkinan beliau melarikan diri tetap ada, terdapat banyak kes di mana SPRM tuduh seseorang itu, mereka tidak balik ke Malaysia dan kita tidak boleh buat apa disebabkan pasport tiada pada kita,” kata pihak pendakwaan.

Pada 16 Oktober lalu, Muhyiddin, 76, Dalam afidavitnya memohon untuk mendapatkan kembali pasportnya secara kekal dari Mahkamah Sesyen atas beberapa alasan termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarga di luar negara.

Muhyiddin berkata, ia adalah suatu kebiasaan di mana beliau akan membawa keluarganya untuk bercuti selama sebulan setiap tahun.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perancangan untuk bercuti tahun ini tidak terkecuali dan ingin membawa keluarganya ke London, United Kingdom (UK), pada akhir tahun.

Katanya, percutian itu penting bagi membolehkan masa diluangkan bersama kerana dirinya dan keluarga amat tertekan pada tahun ini.

Pada 2 Oktober lalu, Muhyiddin memohon supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga lagi tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.

Pengerusi PN itu membuat permohonan berkenaan dengan alasan bahawa beliau sudah dilepas dan dibebaskan untuk kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi.

Terdahulu Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya selepas membenarkan permohonan beliau untuk membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI