fbpx

Lelaki OKU ditemui lemas di dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung di permukaan Sungai Sembulan di Kampung Sembulan Lama pagi semalam.

KOTA KINABALU – Polis bandar raya Kota Kinabalu mengesahkan terdapat penemuan mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung di permukaan Sungai Sembulan di Kampung Sembulan Lama semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, mangsa berusia 46 tahun terbabit ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

Beliau menyatakan sepasukan polis terus digerakkan ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan lanjut sebaik menerima laporan berhubung penemuan itu.

“Hasil siasatan awal, ahli keluarga mendakwa kali terakhir berjumpa mangsa pada jam 12 tengah malam di tepi sungai berhampiran rumah mereka.

“Menurut kakak mangsa, lelaki berkenaan menghidap sakit di bahagian kepala kesan daripada pembedahan selepas mengalami kemalangan motosikal pada tahun 2016.

“Siasatan pada badan mangsa juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi berkata, pihaknya setakat ini mempercayai mangsa meninggal dunia akibat lemas selepas berkemungkinan terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan pasukan bomba yang hadir di lokasi membantu mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI