fbpx

Lebih ramai lelaki bunuh diri di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 115 kes bunuh diri direkodkan di negeri ini sepanjang tahun lalu, pengurangan sebanyak 17.8 peratus kes berbanding sebanyak 140 kes direkodkan pada tahun 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, 84.3 peratus kes bunuh diri sepanjang tahun lalu itu melibatkan seramai 97 lelaki.

“Selain itu, lebih kurang 67.8 peratus daripada kes bunuh diri tahun lalu melibatkan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun.

“Rekod tahun lalu menunjukkan penurunan, bagaimanapun statistik lima tahun sebelumnya iaitu bermula dari 2018 hingga 2021 menunjukkan peningkatan,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Amira Aisya Abd. Aziz (MUDA-Puteri Wangsa) berhubung tindakan diambil kerajaan negeri untuk mengatasi kes bunuh diri yang semakin meningkat dan usaha membantu mereka yang berisiko.

Tian Soon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng turut memberitahu, topik kesihatan mental sering dibincangkan khususnya selepas pandemik Covid-19.

“Antara sebab utama yang dikenalpasti daripada laporan kes bunuh diri adalah melibatkan masalah berkaitan pasangan suami isteri, masalah penyakit kronik serta masalah mental atau kemurungan dan masalah kewangan.

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah merangka beberapa strategi bagi membantu masayarakat menangani isu kesihatan mental yang mudah-mudahan boleh mengurangkan tindakan bunuh diri.

“Ia meliputi aspek promosi, pengesanan awal serta intervensi bagi mereka yang hadir ke fasiliti kesihatan awam di negeri ini,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus berkerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membina kesedaran pencegahan bunuh diri, pengesanan awal kes bunuh diri dan Intervensi atau rawatan bersesuaian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI