fbpx

Lapan premis haram kiriman wang ke luar negara di Sarawak digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob bercakap pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini. Turut kelihatan Mancha (kiri).

KUCHING – Lapan premis yang mengendalikan perniagaan perkhidmatan wang secara haram di Sarawak berjaya digempur dalam operasi khas bersepadu yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua premis itu dikesan dalam serbuan serentak yang dijalankan di Sibu (dua premis), Selangau (dua premis) dan Batu Niah (dua premis) serta masing-masing satu premis di Mukah dan Bekenu.

“Dalam operasi khas bersepadu yang dijalankan, wang tunai berjumlah RM1,039,581 dan matawang Rupiah berjumlah IDR1,116,000 telah dirampas dari premis-premis yang terlibat.

“Seramai 17 individu telah dikenal pasti untuk dipanggil bagi sesi rakaman keterangan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini yang turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Menjelas lanjut, beliau berkata siasatan mendapati modus operandi adalah dengan menjalankan perkhidmatan mengirim wang untuk warganegara asing secara dalam talian ke Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Filipina.

“Ciri-ciri pengendali perniagaan perkhidmatan kewangan secara haram berkenaan didapati mengamalkan percampuran dengan aktiviti perdagangan yang sah, misalnya perniagaan telekomunikasi dan perniagaan runcit serta beroperasi di kawasan yang mempunyai jumlah pekerja asing yang tinggi,” katanya.

Ayob menambah pihaknya turut melihat kaitan antara pengendali haram berkenaan dengan pelbagai jenayah berat yang lain seperti jenayah terancang termasuklah perjudian haram dan penipuan.

Katanya ia ekoran peranan pengendali terbabit mungkin didorong sebagai pemudahcara dalam membantu aktiviti-aktiviti haram lain melalui pergerakan dana.

“Bagi tujuan ini, satu analisis sedang dilaksanakan ke atas urus niaga tunai serta transaksi kewangan mencurigakan melibatkan 39 akaun bank dengan jumlah dana RM47 juta bagi tahun 2021 sehingga 2023,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pengendali perniagaan-perniagaan perkhidmatan kewangan yang tidak berlesen terbabit disiasat kerana disyaki menyediakan perkhidmatan kiriman dan pertukaran wang tanpa lesen, yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (APPW).

Katanya ia juga berkemungkinan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram yang merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sementara itu, Ayob berkata pemindahan wang secara haram ke luar negara telah meningkatkan saiz ekonomi bayangan, yang dianggarkan sekitar 18 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM275 billion.

Katanya antara aktiviti jenayah kewangan yang dikesan menyumbang kepada ekonomi bayangan adalah kesalahan tanda dagangan, pemindahan dana ke luar negara menerusi saluran tidak sah dan gejala rasuah.

Justeru, beliau berkata dalam usaha berterusan bagi membasmi jenayah kewangan sedemikian, PDRM dan BNM telah bekerjasama dalam memantau dan menyiasat aktiviti-aktiviti berkaitan perniagaan perkhidmatan wang (pengurupan dan pindahan wang) secara haram di seluruh negara agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil.

Katanya pada tahun 2022 dan 2023, BNM dengan kerjasama PDRM telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 18 pengendali perniagaan perkhidmatan wang secara haram di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Selangor.

“Operasi penguatkuasaan secara bersama oleh agensi penguatkuasa ke atas aktiviti-aktiviti haram ini akan diperkasakan pada masa hadapan di seluruh negara.

“Tindakan ini adalah satu amaran kepada mana-mana pengendali perniagaan perkhidmatan kewangan secara haram yang lain untuk menghentikan sebarang operasi yang tidak berlesen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI