fbpx

5 juta perokok direkodkan golongan 15 tahun ke atas – Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan berdasarkan statistik terkini, terdapat kira-kira lima juta rakyat di negara ini yang berusia 15 tahun dan ke atas merupakan perokok.

Malah kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, jumlah perokok baharu juga dijangka akan terus meningkat ekoran kemunculan rokok elektronik atau vape.

“Dengan kewujudan dan trend rokok elektronik atau vape ketika ini, jumlah perokok dalam lingkungan usia berkenaan dijangka akan terus meningkat.

“Tinjauan kesihatan dan komorbiditi kebangsaan mendapati jumlah perokok dalam lingkungan usia itu iaitu bermula seawal 15 tahun, meningkat sekali ganda kepada 1.2 juta pada 2019 berbanding 600,000 perokok pada 2016,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Bacaan Kali Kedua).

Zaliha menambah, sebanyak 27,000 kematian dilaporkan akibat merokok di negara ini berdasarkan laporan Malaysia Factsheet The Asean Tobacco Atlas 2019.

Dalam pada itu, beliau memberitahu rokok elektronik atau vape tidak lagi boleh diiklankan, dipromosi dan terlibat dalam tajaan selepas Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dikuatkuasakan.

Jelasnya, peruntukan larangan pengiklanan, promosi dan tajaan produk merokok yang sudah dikuatkuasakan dalam undang-undang sedia ada.

Namun kini katanya, ia diperluaskan kepada semua produk termasuk rokok elektronik, produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau tiruan.

“Rang undang-undang itu menerusi Fasal 3, 4, 5 dan 6 juga memperuntukkan semua pengimport dan pengilang produk merokok wajib membuat pendaftaran kepada setiap produk tembakau yang dihasilkan untuk pasaran Malaysia.

“Ini penting dan kritikal kerana ia membolehkan setiap produk direkod spesifikasi dan kandungannya, selain memudahkan penguatkuasaan di lapangan termasuk mengenal pasti produk tidak berdaftar,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI