fbpx

Covid-19: AstraZeneca berjaya batal 12 saman isu vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – AstraZeneca Sdn. Bhd. hari ini berjaya membatalkan saman yang dikemukakan 12 individu berhubung dakwaan kesan sampingan akibat suntikan vaksin Covid -19 termasuk menyebabkan kematian.

Kesemua 12 individu itu merupakan antara 42 plaintif yang memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta empat pihak lain pada November tahun lalu.

Enam daripadanya adalah waris penerima vaksin yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 dan selebihnya penerima vaksin termasuk tujuh daripada jenis AstraZeneca.

Hakim Mahkamah Tinggi Dr. Suzana Muhamad Said memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan syarikat itu untuk membatalkan saman 12 plaintif yang bukan penerima vaksin jenis berkenaan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Hemalatha Parasa Ramulu yang mewakili AstraZeneca selaku defendan ketujuh dan peguam, Muhammad Shahrin Satheer yang mewakili plaintif.

Dalam kes saman itu, empat lagi defendan ialah Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pfizer Malaysia (pengeluar vaksin) Sdn Bhd dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (pengeluar vaksin Sinovac).

Mahkamah turut membenarkan permohonan kesemua defendan untuk mendapatkan dokumen tambahan dan butiran lanjut daripada kesemua plaintif, antaranya maklumat mengenai jenis vaksin yang diterima, pusat vaksinasi yang terbabit, masa dan tarikh vaksin diberikan serta laporan perubatan dan rekod kematian.

Berdasarkan penyataan tuntutan mereka, kesemua plaintif mendakwa KKM memberi satu deklarasi tidak sah dan suatu persetujuan yang dipaksa untuk mengelakkan mereka diambil tindakan berikutan kesan sampingan teruk melalui suntikan vaksin Covid-19.

Justeru plaintuf menuntut defendan bertanggungjawab atas kesan suntikan vaksin Covid-19 yang memberikan kesan sampingan teruk termasuk menyebabkan kematian, kehilangan upaya kekal dan komplikasi lain yang mengakibatkan kerugian.

Selain itu, plaintif menuntut semua vaksin yang digunakan selepas ini perlu menjalani ujian klinikal dan laporan klinikal penuh terhadap keberkesanan suntikan Covid-19 perlu dikeluarkan oleh defendan.

Mereka juga menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas daripada defendan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI