SEBOLEHNYA semua orang ingin hidup sihat tanpa sebarang masalah kesihatan yang serius.
Namun begitu, ada yang diuji dengan masalah kesihatan seperti kanser yang boleh mengganggu kehidupan.
Kanser kolorektal atau kanser usus antara masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat negara ini.
Malah, Kosmo! baru-baru ini melaporkan seorang lelaki, Mohd. Fitri Md. Nor, 44, tidak dapat lagi bekerja kerana berhadapan dengan masalah kanser usus tahap empat.
Menurutnya, sebelum disahkan berdepan kanser usus, dia mengalami masalah sukar membuang air besar yang disangkanya buasir sejak dua tahun lalu.
“Rasa sakit membuatkan saya tidak boleh duduk dan tidur. Saya kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan setelah pemeriksaan serta saringan ujian darah telah mengesahkan saya menghidapi kanser usus tahap empat.
“Saya kemudian jalani pembedahan pada perut untuk membuat saluran baharu bagi pembuangan najis menggunakan beg stoma yang perlu dibeli sendiri,” katanya.
Ekoran itu jelasnya, dia terpaksa menggunakan beg khas tersebut sepanjang hayat kerana saluran usus besar sudah tidak boleh dirawat lagi.
Kanser usus merupakan kanser kedua paling tinggi dalam kalangan lelaki dan ketiga tertinggi bagi wanita yang membawa kematian.

Dalam pada itu, masalah kanser usus atau kolorektal ini sebenarnya boleh dicegah dan dirawat sekiranya pengesanan awal dilakukan.
Menyedari akan hal tersebut Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini telah melaksanakan program Kolonoskopi untuk Kanser Kolorektal di hospital itu dengan turut menjemput media.
Inisiatif pelaksanaan program itu bertujuan menjalankan prosedur kolonoskopi yang menjadi satu langkah proaktif untuk menangani kebimbangan kian meningkat mengenai kanser kolorektal dalam masyarakat kita.
Kolonoskopi merupakan satu daripada prosedur endoskopi. Endoskopi ialah prosedur yang digunakan dalam perubatan untuk melihat bahagian di dalam badan dan salah satu prosedur endoskopi adalah kolonoskopi iaitu penelitian usus.
Ketua Unit Hepatologi dan Gastroenterologi, Dr. Gew Lai Teck yang juga merupakan pengerusi bagi program itu berkata, kanser kolorektal kekal sebagai satu cabaran kesihatan dan menyumbang kepada peningkatan kadar kematian di Malaysia.
Namun begitu, katanya, pengesanan awal adalah ‘kunci’ untuk mencegah dan merawat masalah ini dengan lebih berkesan.
“HKL adalah salah satu hospital yang mempunyai kepakaran advanced luminal endoscopy dan kami boleh melakukan prosedur kompleks endoskopi dalam usus yang teknikal.
“Ini termasuk pengesanan kanser usus awal dan memberi rawatan tanpa melalui pembedahan besar untuk kes-kes yang sesuai,” katanya.
Tambahnya, oleh itu, pengesanan awal terhadap kanser ini boleh membantu mengurangkan risiko kepada seseorang pesakit untuk berhadapan dengan masalah ini secara lebih serius.
Dr. Lai Teck berkata, sebenarnya ketumbuhan yang dinamakan sebagai polip menjadi punca masalah ini.
Terangnya, ketumbuhan polip ini ialah satu keadaan yang dinamakan sebagai prakanser.
“Dalam keadaan ini kanser belum memasuki peringkat pertama tapi ia telah mula untuk membesar menjadi kanser.
“Polip ini mempunyai banyak jenis dan apa yang penting adalah tentang saiznya, jika saiznya lebih daripada 5 milimeter (mm), risiko kanser akan meningkat.
“Jika saiz itu telah membesar sehingga 3 atau 4 sentimeter (sm) ia akan menjadi kanser 100 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, melalui pengetahuan saintifik, 80 peratus kanser sebenarnya dibangunkan melalui polip sebegitu.
Polip ini mengambil masa yang sangat panjang untuk membesar mungkin dalam tempoh 10 tahun.
Pun begitu, menariknya, pemeriksaan awal menerusi prosedur kolonoskopi yang dijalankan juga akan terus melakukan pemotongan polip sekiranya ia menemuinya. Pemotongan ketumbuhan polip boleh menyebabkan risiko kanser akan hilang.
Bahkan, pada program tersebut, Dr. Lai Teck menjelaskan, mereka telah berjaya melakukan 53 prosedur kolonoskopi dalam tempoh masa enam jam.
Selain itu, mereka juga berjaya melakukan ‘polypectomy’ iaitu pemotongan ketumbuhan berisiko kanser dalam usus itu untuk 70 peratus daripada pesakit-pesakit mereka.
“Kesemua 70 peratus pesakit kita telah berjaya melalui prosedur pembuangan polip.
“Kita boleh memberitahu kepada pesakit bahawa risiko kanser mereka turun kepada 0.1 peratus.
“Melalui prosedur ini, ia berjaya kurangkan risiko kanser pesakit-pesakit dalam masa yang akan datang,” jelasnya
Menerang lanjut tentang kolonoskopi, Dr. Lai Teck memberitahu, kolonoskopi merupakan satu prosedur yang khusus dan memerlukan kemahiran tinggi untuk dilaksanakan meskipun ia hanya dilakukan di bilik rawatan harian.
Dalam prosedur ini, doktor menggunakan skop iaitu satu tiub panjang dan boleh melentur yang disambungkan ke alat perakam kamera video bagi memudahkan pemeriksaan keseluruhan kolon dan dubur.
“Sebenarnya, kolonoskopi bukan sekadar prosedur penelitian usus melalui alat skop. Sebaliknya, ia merupakan satu prosedur yang khusus dan memerlukan kemahiran tinggi.
“Pakar-pakar endoskopi telah melalui latihan yang banyak untuk belajar kemahiran-kemahiran menganalisis jenis-jenis ketumbuhan untuk kenal pasti risiko kanser usus,” katanya.
Jelasnya, lazimnya pada peringkat awal ketumbuhan polip itu pesakit tidak akan merasakannya, namun apabila berlaku simptom-simptom seperti berlaku pendarahan pada dubur dan sukar untuk membuang air besar kebiasaannya kanser itu telah berada pada tahap tiga atau empat.
“Kita tidak mahu bergantung kepada simptom-simptom ini kerana kanser ini agak lazim dalam kalangan kita.
“Apa yang kita lakukan seperti sesetengah negara buat adalah melakukan saringan kepada mereka yang berumur 45 tahun ke atas.
“Satu kit ujian akan dihantar dan apabila keputusan positif sahaja mereka akan pergi ke hospital untuk melakukan prosedur kolonoskopi.
“Sebenarnya setiap hari saya akan terima empat hingga lapan pesakit yang positif untuk ujian ini,” kata Dr. Lai Teck
Berkongsi punca kepada masalah ini, jelas Dr. Lai Teck, kebiasaannya ketumbuhan polip ini akan berlaku sendiri dan faktor genetik pula adalah sekitar 10 hingga 20 peratus sahaja.
Malah, gaya hidup seperti merokok, minum arak, pemakanan dan mempunyai berat badan berlebihan menjadi faktor kepada masalah ini.
“Pengambilan makanan daging proses menjadi penyumbang kepada masalah ini.
“Ini kerana makanan itu menggunakan bahan-bahan kimia dan ia boleh menyebabkan penyakit ini berlaku,” terangnya.
















