fbpx

Agong lantik lima ahli baru Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) bersama ahli baharu JKMR selepas menyerahkan surat cara lantikan di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto SPRM

PUTRAJAYA- Lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) telah dilantik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober 2023 hingga 8 Oktober 2026.

Pelantikan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu Akta 694.

Surat cara pelantikan bagi ahli JKMR diserahkan oleh Perdana Menteri sambil disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, kesemua individu yang dilantik terdiri dalam kalangan Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Lima ahli JKMR baharu itu terdiri daripada Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

“Secara keseluruhan JKMR terdiri daripada tujuh ahli dan dua daripadanya masih dalam tempoh lantikan iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Ir. Md. Nasir Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim,” katanya tadi.

SPRM menambah, Ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek permasalahan rasuah dalam negara.

“Selain itu, JKMR juga dikehendaki mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) terhadap perjalanan dan fungsi suruhanjaya ini di bawah Akta SPRM 2009.

“Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRam dalam penunaian fungsi-fungsinya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI