fbpx

Adam Radlan didakwa enam lagi pertuduhan ubah wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa enam lagi pertuduhan pengubahan wang haram baharu membabitkan nilai RM3.6 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagaimanapun Adam Radlan, 42, mengaku tidak bersalah selepas keenam-enam pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya pada 9 November lalu yang mana prosiding pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Adam Radlan didakwa sebagai pengarah sebuah syarikat memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM3.6 juta dari akaun syarikat itu kepada akaun CIMB Bank Berhad miliknya dan tiga individu lain.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Jaya One, di sini antara 1 Disember 2021 hingga 27 Disember 2022.

Bagi keenam-enam pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama dan dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini pada 21, 22, 28 Februari serta 25 Oktober lalu Adam Radlan telah didakwa dengan enam pertuduhan membabitkan meminta dan menerima rasuah termasuk pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini dan Shah Alam.

Justeru ahli perniagaan tersebut kini berdepan dengan 12 pertuduhan yang mana kesemuanya akan didengar di hadapan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen di sini.

Sementara itu, di hadapan hakim Suzana, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan untuk kesemua kes dibicarakan secara bersama.

“Pihak kami belum boleh membuat permohonan untuk kes dibicarakan bersama kerana pihak pembelaan memaklumkan mereka perlu meneliti dokumen berkenaan kesalahan ubah wang haram terlebih dahulu. Mohon mahkamah tetapkan satu tarikh singkat untuk mengetahui perkembangan mengenai perkara ini,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan mengesahkan perkara itu.

Hakim Suzana kemudian menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI