fbpx

42,999 pekebun kecil Sarawak ada Permit Autoriti Transaksi Getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seramai 42,999 pekebun kecil memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) di seluruh Sarawak dengan jumlah keluasan 72,151.74 hektar, berdasarkan rekod sehingga 23 November lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam masa sama sehingga Ogos 2023, sebanyak RM658,000 telah dibayar di bawah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pada pekebun kecil getah Sarawak.

“Kenaikan harga pengaktifan IPG daripada RM2.70 kepada RM3.00 dengan melibatkan peruntukan RM400 juta yang diluluskan oleh kerajaan pada Pembentangan Bajet 2024 dijangka dapat menggalakkan pengeluaran di peringkat pekebun kecil getah terutamanya di Sarawak.

“Selain itu, Penubuhan Sarawak Rubber industry Board atau SARIB pada 1 September 2022 oleh Kerajaan Negeri Sarawak akan mendayaupayakan lagi industri dan melengkapkan rantaian ekosistem sektor getah di Sarawak terutamanya sektor hiliran,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata, mengakhiri Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak semalam, beliau bersama pengurusan tertinggi dan pegawai Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta agensi selain pengamal media mengadakan lawatan ke Kilang Hwah Yang Agro Industries Sdn. Bhd., Jalan Kuching Serian, Serian.

Katanya, Kilang Hwang Yang AgroIndustries merupakan kilang yang memproses dan mengeluarkan Standard Malaysian Rubber 10 dan 20 (SMR10 & SMR20).

“Syarikat ini mula beroperasi pada tahun 1999 dan kini mempunyai kekuatan 110 pekerja dengan majoriti daripada mereka adalah warga tempatan memproses hasil getah seperti getah bekuan (sekerap) dan getah keping.

“Hasil getah ini dari seluruh kawasan di Sarawak yang mana hasil keluaran kilang ini dieksport ke negara-negara di rantau Asia terutama di China dan Asia Barat.

“Ia menjadi antara tiga kilang utama di Sarawak dengan jumlah pengeluaran dan eksport getah mencapai 7,660.57 tan metrik getah campuran dan 6,075.72 tan metrik SMR20 sehingga Jun 2023,” katanya

Beliau berkata, kapasiti pengeluaran kilang tersebut dicatatkan sebanyak 7-8 tan metrik sejam atau 2,000 tan metrik sebulan bergantung kepada bekalan bahan mentah yang diterima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI