fbpx

Tangani obesiti kanak-kanak sejak prasekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KESEDARAN obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh disebarkan melalui pelbagai aktiviti menyeronokkan.

OBESITI dalam kalangan kanak-kanak merupakan satu masalah yang wajar diberi perhatian serius.

Jika masalah ini tidak dikawal, kanak-kanak tersebut akan membesar dalam satu keadaan tidak sihat sehingga berisiko menghidap pelbagai penyakit.

Dalam usaha untuk mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, platform pembelajaran dalam talian bahasa Melayu pertama, eToyBox telah dilancarkan.

Ia bermatlamat mengubah landskap pendidikan kesihatan awal di negara ini.

Diketuai oleh pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Roehampton dan Universiti Durham, eToyBox bertujuan menyediakan bahan pengajaran terhadap pendidikan tabiat sihat kepada guru-guru prasekolah.

eToyBox merupakan hasil inisiatif ToyBox Study Malaysia untuk memaksimumkan jangkauan dan impak intervensi tingkah laku sihat berpusatkan prasekolah di seluruh negara.

Ketua Projek Malaysia ToyBox Study Malaysia, Prof. Dr. Poh Bee Koon berkata, kesesuaian kandungan modul dan kebolehgunaan platform eToyBox telah dinilai dan dimurnikan oleh pakar pemakanan serta pendidik prasekolah.

Menurutnya, mereka memperkenalkan pendekatan transformatif untuk menangani obesiti kanak-kanak dengan menyediakan pendidikan instrumen.

Ujarnya, ia diperlukan untuk membudayakan tabiat makan dan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.

“Inisiatif ini mewakili langkah penting ke hadapan dalam misi kami untuk memupuk amalan kesihatan dan kesejahteraan sepanjang hayat sejak usia muda.

“Ini secara tidak langsung membentuk masa depan lebih sihat bagi anak-anak di negara kita.

“Saya ingin menekankan bahawa eToyBox mempunyai potensi bagi memupuk budaya pendidikan kesihatan holistik dalam kalangan kanak-kanak peringkat usia awal.

“eToyBox bukan sekadar platform pembelajaran, ia merupakan alat transformasi yang memberi kuasa kepada pendidik untuk memperjuangkan amalan sihat dan menangani obesiti kanak-kanak,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Kluster Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Termaju UKM.

Dr. Bee Koon

Tambahnya, dia teruja untuk melihat potensi mengubah landskap pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Malah, kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan ke atas eToyBox telah membuahkan hasil memberangsangkan.

Ini menunjukkan bahawa potensi untuk mengukuhkan pengetahuan, sikap dan efikasi kendiri pendidik dalam menerapkan amalan tingkah laku yang sihat dalam kalangan pelajar mereka.

Dalam pada itu, eToyBox adalah platform bahasa Melayu pertama di negara ini yang direka khusus untuk membantu pendidik prasekolah menangani kompleksiti obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Data terkini daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi menunjukkan peningkatan prevalen obesiti kanak-kanak yang mengkhuatirkan, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk intervensi berkesan.

Dengan maklumat menyeluruh tentang tingkah laku berkaitan tenaga, platform eToyBox merangkumi empat modul utama yang memberi tumpuan kepada pengambilan air, snek sihat, pengurangan tingkah laku sedentari dan peningkatan aktiviti fizikal.

Antara bahan digunakan bagi menyediakan pelbagai sumber maklumat adalah infografik yang memberi wawasan dan panduan aktiviti kelas dinamik sehingga video beranimasi serta buku flip interaktif.

Kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan menggunakan platform eToyBox telah menghasilkan keputusan yang baik.

Ini menunjukkan potensi platform berkenaan untuk memperkukuh pengetahuan, sikap dan keberkesanan diri pendidik dalam menanam amalan tingkah laku sihat kepada pelajar mereka.

Melalui platform ini, pendidik dijangka dapat menyebarkan kad petua dan buletin informatif kepada ibu bapa secara lancar, sekali gus memupuk persekitaran kerjasama yang mendorong perkembangan tabiat peka terhadap kesihatan di rumah.

Sementara itu, Prof. Leigh Gibson, Penyelidik Utama dari United Kingdom dan akademik terkemuka dari Universiti Roehampton menyifatkan projek eToyBox sebagai usaha menggabungkan teknologi inovatif dengan pendidikan awal kanak-kanak.

“Kerjasama kami menjalankan projek eToyBox menandakan langkah penting dalam memanfaatkan platform digital untuk memajukan pendidikan kesihatan kalangan kanak kanak.

“Dengan mengintegrasikan bahan pembelajaran interaktif dan menarik, kami menginspirasi gaya hidup sihat yang akan memberi kesan terhadap perkembangan fizikal serta mental kanak-kanak,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI