fbpx

Fokus utama Op MURNI jaga nyawa orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA tentera memindahkan mangsa banjir ke tempat lebih selamat di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu Isnin lalu. - PUQTRA HAIRRY

KUALA NERUS – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mula turun padang sepanjang Operasi Murni (Op MURNI) yang dijalankan bagi menyelamat mangsa banjir di Terengganu sejak Isnin lalu.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Aizuddin Hassan berkata, antaranya ialah kadar respons yang lebih pantas dalam menyediakan bantuan tentera dan peralatan logistik kepada mangsa-mangsa banjir terlibat.

AIZUDDIN

Ujarnya, fokus utama Op MURNI ialah memastikan tiada kehilangan nyawa berlaku dalam kalangan orang awam dan tentera sewaktu operasi menyelamat dibuat.

“Ketika ini, empat pasukan telah digerakkan di Terengganu iaitu Rejimen 512 Askar Wataniah, Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para), Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize (4 Briged Mekanize) dan Rejimen Kelima Artileri Diraja.

“Pasukan First Responder ATM sentiasa bersedia 24 jam untuk membantu mangsa banjir yang terperangkap di lokasi mengikut aduan daripada orang awam tanpa mengira masa,” katanya ketika ditemui di Kem Sri Pantai, Seberang Takir, di sini semalam.

Terdahulu beliau memantau gerak kerja anggota ATM yang terlibat dalam Op MURNI.

Aizuddin berkata, lebih ramai anggota tentera wanita digerakkan ke lapangan untuk membantu menyelamatkan mangsa sama jantina pada operasi kali ini.

ANGGOTA tentera wanita turut dikerahkan dalam misi menyelamat bagi memberi keselesaan kepada mangsa wanita.

Jelasnya, ia bagi memberi keselesaan kepada mangsa wanita terbabit terutama dalam pergerakan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Semua aset logistik seperti trak tujuh tan, trak tiga tan, bot dan kenderaan lain juga mencukupi untuk mengendalikan situasi bencana ketika ini,” katanya.

Anggota Rejimen 512 Askar Wataniah, Nurul Aisyah Shafika Salim, 26, gembira dapat menabur bakti kepada mangsa banjir.

“Setiap kali ditugaskan dalam operasi, saya akan terus mencari mangsa wanita seperti ibu baru bersalin atau wanita hamil ke­rana faham situasi mereka yang lebih selesa dibantu wanita,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa banjir yang telah diselamatkan oleh anggota tentera sejak Isnin lalu, Siti Fatimah Meli, 58, dari Taman Murni Permai, di sini berkata, anggota ATM sanggup mengharung air pada kedalaman hampir satu meter dalam keadaan gelap ke rumahnya.

“Alhamdulillah, mereka sangat cekap dan mesra bertanya bilangan ahli keluarga yang terperangkap di setiap rumah yang ditenggelami air dan sanggup mendukung warga emas, pesakit terlantar, kanak-kanak serta bayi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI