fbpx

Operasi bersepadu cegah penyelewengan sawit di Beruas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pengusaha sawit (baju merah) dikenakan kompaun dalam operasi bersepadu mengesan penyelewengan dalam industri sawit di sekitar kawasan Beruas petang semalam.

BERUAS – Lebih lapan tan metrik buah sawit dirampas manakala tiga kenderaan berat disita dalam operasi bersepadu mengesan penyelewengan dalam industri sawit di sekitar kawasan Beruas, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata sebanyak 8.78 tan metrik buah sawit dirampas selepas didapati ia dikumpul tanpa lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Sebanyak dua lori dan satu jengkaut yang digunakan pihak terlibat pula disita dalam operasi diadakan di tiga premis dekat pekan Beruas, Kampung Changkat dan Kampung Dendang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, polis turut mengeluarkan saman terhadap seorang individu terlibat kerana tidak memiliki lesen memandu manakala Majlis Perbandaran Manjung mengenakan kompaun kerana tiada lesen perniagaan.

Jelasnya, operasi dianggotai 30 orang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota polis, sembilan pegawai MPOB, tujuh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tiga penguat kuasa MPM serta seorang pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

Terangnya, operasi bersepadu itu dijalankan untuk mencegah daripada pengumpulan buah sawit secara tidak sah.

“Pada masa sama, ia bertujuan mencegah serta mengesan penggunaan jentera-jentera yang tidak mengikuti spefikasi yang ditetapkan.

“Ia juga bertujuan pemeriksaan ke atas jentera-jentera yang digunakan untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan selamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI