fbpx

APMM tingkat kerjasama keselamatan perairan di rantau ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamid ketika menerima kunjungan hormat Shivakumar Nair di Ibu Pejabat APMM.

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan kerjasama dua hala antara agensi-agensi di rantau ASEAN melibatkan pelbagai bidang terutama usaha menangani jenayah maritim, perkongsian maklumat perisikan dan siasatan.

Kerjasama itu dilaksanakan melalui pertemuan dan siri kunjungna hormat ke atas Ketua Pengarah APMM, Datuk Hamid Mohd. Amin dengan beberapa wakil kedutaan di rantau ASEAN.

APMM dalam kenyataan berkata, kerjasama antara negara tertumpu kepada potensi di masa hadapan dalam konteks pembangunan kapasiti seperti latihan, perkongsian ilmu pengetahuan, perpindahan teknologi dan kepakaran.

“Perbincangan turut meliputi usaha berterusan dalam pemerkasaan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) sebagai pusat kecemerlangan bagi pegawai penguat kuasa maritim di rantau ini.

“Intipati perbincangan lain ialah mengenai trend jenayah semasa, situasi jenayah maritim dan cabaran-cabaran di dalam kawalan sempadan negara termasuk berkongsi konsep operasi, serta pengalaman di dalam menangani jenayah di laut,” kata kenyataan itu hari ini.

Antara wakil kedutaan yang hadir pada pertemuan itu adalah Penasihat Pertahanan dari Kedutaan Diraja Thailand, Kapten Jirapong Apichatwong RTN, Duta Besar Jepun, Katsuhiko Takahashi dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Shivakumar Nair di Ibu Pejabat APMM, di sini.

Melalui kunjungan hormat ini, APMM berharap ia bakal menjadi langkah positif dalam memperkukuhkan lagi hubungan di antara Malaysia dan negara-negara terbabit di dalam konteks keselamatan maritim.

Pihaknya turut mengalu-alukan kunjungan hormat daripada perwakilan negara-negara serantau lain dalam usaha membina kerjasama lebih erat bagi menjaga dan melindungi keamanan serta kedaulatan laut di rantau ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI