fbpx

SOP Perlombongan NR-REE kawal selia aktiviti perlombongan mineral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi di Dewan Rakyat hari ini. Foto Ihsan Japen

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia bagi mengawal selia aktiviti perlombongan mineral.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, SOP itu bagi memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dilaksanakan secara bertanggungjawab dan
mampan.

“SOP tersebut menyediakan prosedur yang teratur bagi aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan.

“Kerajaan juga masih memperhalusi idea perlombongan NR-REE di Hutan Simpan Kekal (HSK) kerana implikasinya,” katanya ketika di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang meminta kementerian menyatakan perancangannya dalam memastikan industri perlombongan NR-REE tanpa
meninggalkan kesan terhadap kelestarian alam sekitar dan impak sosial kepada penduduk.

Nik Nazmi berkata, SOP itu telah dipersetujui untuk digunapakai oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) bertarikh 2 Oktober 2023 yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco-Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas pengurusan mineral di negeri masing-masing.

“SOP ini menekankan perkara-perkara penting yang sering menimbulkan kegusaran mengenai kesan aktiviti perlombongan kepada alam sekitar serta ekosistem biodiversiti. Antaranya seperti penetapan perlombongan NR-REE daripada lempung jerapan ion (ion adsorption clay) untuk menghasilkan RE Carbonate yang tidak melibatkan penghasilan bahan radioaktif.

“Selain itu, penggunaan kaedah perlombongan secara in-situ leaching (ISL) yang tidak melibatkan pembukaan kawasan yang besar seperti lazimnya berlaku dalam aktiviti perlombongan mineral
lain yang menggunakan kaedah lombong terbuka,” ujarnya.

Katanya, SOP berkenaan juga membuat penetapan kaedah pemantauan yang teratur dan berkala,
termasuk pembinaan telaga pemantauan bagi mengesan sebarang pencemaran kepada sumber air bawah tanah dan keperluan untuk penyediaan kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum kelulusan bagi menjalankan aktiviti perlombongan boleh diberikan.

“SOP ini telah dibangunkan berdasarkan SOP Perlombongan NR-REE di Negeri Perak yang diguna pakai untuk pembangunan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

“Berdasarkan kepada pengauditan yang dijalankan, boleh disimpulkan bahawa SOP ini mampu untuk mengawal selia aktiviti perlombongan NR-REE dengan baik disamping menangani impak sosial,” jelasnya.

Selain itu katanya, Kementerian juga akan meneliti keperluan daripada aspek perundangan sedia ada seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127], Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313], Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525] dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

“Di samping itu, kementerian turut meneliti Tatacara Pelaksanaan Pengauditan Pematuhan Kendiri ke Arah Industri Perlombongan yang Bertanggungjawab dan Mampan (Self Regulatory Auditing for Responsible and Sustainable Mining Industry),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI