fbpx
SEDEKAD berusaha keras membelah arus muzik perdana dengan rantaian lagu ciptaan sendiri sepenuhnya tanpa bergantung mana-mana komposer, Aina Abdul meneguhkan muzik jiwa melankoliknya menerusi Konsert A Night With Aina Abdul 3.0.

Satu lagi tanda aras Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSIS penyanyi antarabangsa! Demikian gambaran tepat aksi penuh kreativiti penyanyi Aina Abdul menerusi Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang menghimpunkan lautan manusia pelbagai lapisan usia hujung minggu lalu.

Tepat pukul 9 malam, kemunculan susuk Nurul Aina Abdul Ghani di pentas disambut dengan jeritan 10,000 peminat yang lama menantikan malam bersejarah itu berlangsung di depan mata mereka.

Pastinya mereka bukan sekadar ingin menikmati vokal si penyanyi malah teruja menantikan fesyen dibawa idola mereka itu kerana khalayak tahu, bukan Aina Abdul namanya jika berpenampilan ala kadar dalam sesebuah persembahan.

Tampil menguasai pentas mengekalkan imej ‘avant-garde’ yang cukup sinonim dengan dirinya, anak seni kelahiran Johor itu mengenakan enam busana mega sepanjang konsert.

A Night With Aina Abdul menjadi bukti keampuhan dan kredibiliti Aina Abdul sebagai penyanyi, sekali gus meletakkan kedudukannya di tahap yang berbeza dengan artis seangkatannya.

Malam limpahan seni

Bertemakan Journey of Aina Abdul, konsert mega tersebut menyaksikan penyanyi bertubuh genit itu mempamerkan kemahiran melantunkan deretan lagu pelbagai genre, termasuk tradisional, rancak dan galau.

Repertoire persembahan dimulakan dengan segmen lagu ciptaan sendiri iaitu Ghost, Fool, Kelip-Kelip dan Kamu, diikuti dengan lagu yang membuat seluruh penonton melompat seperti Bleed, Blue, Shadow dan Sumpah.

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu mempersembahan sebanyak 34 dendangan, termasuk seleksi daripada album terbaharunya, Imaji dan beberapa lagu ‘cover’ penyanyi lain.

Diiringi barisan pemuzik orkestra dan band bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew dibantu Jenny Chin, Aina meneruskan segmen kedua dengan alunan melankolik seperti Bilang, Bukan Untukku dan Sedia Terluka.

Bayangkan ketika ini, gaun kembang berwarna biru dipakai penyanyi bernada tinggi itu tiba-tiba mengeluarkan asap dan bunga yang bergerak-gerak menggandakan impak persembahan pada lagu balada seperti Sesal, Sepi dan Nada Kalbu.

DUET bersama Khai Bahar memarakkan adrenalin penonton sebaik mendendangkan lagu wajib kenduri kahwin berjudul Nafas Cinta.

Lantas, stadium yang sudah sedia bergema dengan ‘sing along’ peminat yang menghafal dengan semua lirik sekali lagi gemuruh tepukan dek keterujaan melihat gaun eksklusif tersebut yang memberi nilai tambah kepada konsert.

Kesungguhan Aina dalam memastikan penampilan serba sempurna selayaknya dipuji.

Jadi tidak hairan dia memperuntukkan sekitar RM400,000 untuk lima pasang busana eksklusif sepanjang konsert.

Tidak terhenti di situ, momentum aksi dimantapkan lagi persembahan duet bersama Khai Bahar yang memarakkan adrenalin penonton sebaik mendendangkan lagu wajib kenduri kahwin berjudul Nafas Cinta.

MENGENAKAN enam busana eksklusif, usaha dan kreativiti Aina menampakkan kesungguhannya menjadi anak seni berkualiti dan selayaknya menjadi penanda aras buat mana-mana penyanyi baharu lain.
– SYAKIR RADIN / AINA ABDUL ENTERTAINMENT

Segmen

Memasuki segmen ketiga, Aina membuatkan penonton gagal duduk diam apabila melantunkan seleksi lagu K-pop seperti This Love, Shut Down, How You Like That, I Will Go To You Like The First Snow dan Beautiful.

Tidak memberi penonton berehat walau sejenak, malam gemilang Aina 3.0 diteruskan dengan segmen khas buat Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dengan tiga lagu, Fatwa Pujangga, Bunga Tanjung dan Empat Dara.

Suasana kemudian digamatkan dengan persembahan bersama Haziq Rosebi menerusi Lemak Manis dan Joget Cinta Sakti yang membuatkan audiens seisi Axiata Arena berjoget riang.

Suasana ceria ketika Aina mendendangkan seleksi lagu tradisional bertukar hiba apabila lagu Atouna El Toufoule mula menusuk ruang hati yang didedikasikan kepada rakyat Palestin di bumi Gaza yang sedang berdepan kekejaman rejim Zionis.

Sebagai tanda sokongan, sebahagian hasil jualan tiket konsert juga akan disalurkan buat negara bergolak itu.

BERNUANSA balada berat yang meruntun jiwa, suntikan variasi teknik vokal Aina berjaya menjadikan konsertnya baru-baru ini berlangsung tanpa rasa bingit atau menyakitkan telinga.

Stamina, energi

Mendendangkan lagu yang hampir keseluruhannya bernada tinggi, pemenang anugerah Penyanyi Wanita Popular (ABP38) itu tidak sedikitpun menunjukkan kepenatan mahupun semput malah tenaganya sentiasa memuncak.

Kehangatan konsert diteruskan dengan lagu Puas Sudah, Kejam dan Maybe.

Ketika penonton sedang diulit galau dek nyanyian syahdu Aina, kelibat Lah Ahmad muncul ke atas pentas menyanyikan lagu duet mereka berdua Tunggu Kamu sekali gus membuatkan emosi audiens terus berkecamuk.

Mood sama diteruskan dengan lagu Mimpi Kita yang ditulis Aina lapan tahun lalu sebagai penghormatan buat Allahyarham bapanya.

Tidak berundur tanpa lagu wajib, Semalam dan Jangan Mati Rasa Itu sebagai seruan buat semua yang pernah merasai perhubungan toksik, suara penonton nyata bergema mengikut bait lirik lagu yang sudah sebati berbekas di jiwa.

SELEPAS Axiata Arena, Aina akan meneruskan konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Singapura pada 6 Januari tahun hadapan.

Menutup persembahan dengan lagu Terus Hidup, suara anak bongsu daripada lima beradik itu sesekali kedengaran sebak barangkali teringat momen indahnya mengenggam trofi Juara AJL37 sekali gus disambut ‘standing ovation’ pemujanya.

Dengan tiga jam durasi persembahan, selayaknya malam bersejarah Aina itu dikategorikan mega! Meskipun ada beberapa masalah teknikal seperti mikrofon tidak berfungsi , semua itu tidak mencacatkan persembahan malah profesionalism Aina mengaburi semua itu.

Tidak hairan ramai rakan selebriti enggan melepaskan peluang mengikuti malam bersejarah tempoh hari antaranya Ziana Zain, Rozita Che Wan, Datuk AC Mizal, Ajai, Ika Nabila dan ramai lagi.

MENUNJUKKAN solidariti buat rakyat Palestin, Aina memaklumkan sebahagian daripada jualan tiket konsert akan disalurkan kepada negara bergolak tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN