fbpx

Qaseh Aulia: Pengasuh didakwa abai, tinggal bayi hingga bawa kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mulyati ketika dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini hari ini.-Foto oleh Shidiqqin Zon

PETALING JAYA – Seorang pengasuh yang mengabai hingga membawa kepada kematian bayi perempuan yang dikenali sebagai Qaseh Aulia di sebuah taska bulan lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun tertuduh Mulyati Kalim, 51, yang merupakan warganegara Indonesia itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, Mulyati didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga bayi bernama Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan 26 hari, telah mengabaikan bayi tersebut dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Jalan Cecawi, Kota Damansara di sini pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober lalu.

Juteru pendakwaan dikemukakan mengikut dibawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama.

Justeru hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, P.Vitiya Monisha tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana kes itu sangat serius sehingga membawa kepada kematian seorang bayi.

“Bagaimanapun, jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, kami mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis terdekat.

“Memandangkan tertuduh seorang warga asing, pasport juga perlu diberikan kepada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam, Badrul Munir Bukhari merayu agar anak guamnya dibenarkan jamin dengan ikat jamin rendah.

“Mulyati tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana telah berkahwin dengan warga tempatan selain mempunyai empat anak termasuk seorang anak angkat. Susulan kejadian ini, dia tidak lagi bekerja kerana taska berkenaan telah ditutup,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport selain dilarang menganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember ini bagi sebutan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI