fbpx

Kipas burung hantu hasilkan angin semula jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIPAS burung hantu keluaran Sharp ini bakal berada di pasaran pada tahun depan.

SYARIKAT barangan elektrik, Sharp memperkenalkan kipas burung hantu yang dikatakan dapat membantu menenangkan fizikal dan mental.

Diperkenalkan semasa program Sharp Tech Day 2023 di Tokyo, Jepun baru-baru ini, kipas angin comel berbentuk burung hantu itu dikenali sebagai Haneyasume.

Menurut kenyataan daripada Sharp, kipas itu mampu menghasilkan angin semula jadi menerusi pergerakan sayap seperti burung sebenar, sekali gus memberikan ‘remedi’ ketenangan kepada pengguna.

“Kipas burung hantu ini direka untuk mencipta angin semula jadi.

“Menurut penyelidikan dalaman Sharp, angin semula jadi yang lembut boleh menjadikan tubuh manusia lebih santai dan selesa.

“Angin semula jadi berbeza dengan kipas biasa yang boleh menjadi terlalu kuat dan tidak baik untuk kesihatan,” kata salah seorang kakitangan Sharp.

Jelasnya lagi, struktur sayap pada kipas itu direka untuk dipadankan dengan bentuk sayap sebenar burung hantu selaras dengan konsep reka bentuk produk itu yang merujuk kepada alam semula jadi.

Dengan merujuk kepada bentuk dan pergerakan burung hantu sebenar, kipas itu boleh menghasilkan tiupan angin semula jadi dengan kekuatan serta frekuensi berbeza menerusi setiap kepakan.

Menurut pakar Sharp, angin sepoi-sepoi bahasa yang dihasilkan oleh sayap burung hantu itu boleh membuatkan tubuh lebih relaks.

“Jadi, angin yang bertiup boleh menimbulkan rasa selesa kepada pengguna.

“Pada masa sama, ia menjadikan persekitaran seperti di alam semula jadi.

“Ia menjadi terapi ‘healing’ untuk fizikal dan mental kepada mereka yang menggunakan kipas ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai rekaan kipas itu, Sharp menjelaskan, pemilihan bentuk burung hantu tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Katanya, burung hantu boleh bergerak dan terbang dengan cekap.

Rentetan itu, Sharp menggunakan bentuk dan pergerakan burung hantu sebagai mekanisme kepada peranti yang menjimatkan kuasa elektrik berkenaan.

Kipas burung hantu itu dijangka dikeluarkan pada tahun depan.

Difahamkan, ia akan dijual di kedai peralatan kesihatan dan bukannya peralatan rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI