fbpx

Tukang masak dituduh curi beras, gajus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Seremban.

SEREMBAN – Seorang tukang masak tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan mencuri di premis perniagaan di Bandar Baru Nilai, bermula bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Faaiz Pungut, 38, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 12 November lalu, kira-kira pukul 11.33 malam di sebuah foodcourt di Bandar Baru Nilai, Kompleks Sukan KLIA, tertuduh telah melakukan pecah rumah ke atas sebuah bangunan yang dijadikan kedai makan.

Tertuduh mencuri empat beg beras seberat 10 kilogram setiap satu dan satu bundle gula pasir bersamaan 24 paket.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 14 November lalu, kira-kira pukul 4.22 pagi di lokasi yang sama, tertuduh memecah masuk bagi mencuri dua unit penapis sinki, dua bungkus kacang gajus seberat dua kilogram dan dua paket susu pekat seberat tiga kilogram.

Bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, pada 3 Oktober lalu kira-kira pukul 8.20 malam, di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Nilai, teruduh telah mencuri sebuah motosikal jenis Honda Dash milik seorang lelaki berusia 20 tahun.

Bagi pertuduhan berkenan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan, manakala, tertuduh diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lee Boon Shian.

Tertuduh dalam rayuannya memohon untuk nilai wang jaminan dikurangkan memandangkan mempunyai tanggungan dua orang anak.

Majistret kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan 5 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI