fbpx

Saliran tersumbat punca banjir di Pasir Puteh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan laluan utama di Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh yang dinaiki air akibat saliran tersumbat hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Saliran tersumbat yang tidak dapat menampung hujan berterusan dipercayai menjadi faktor kepada pemindahan mangsa banjir di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Puteh dekat sini hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, keadaan itu menyebabkan 178 mangsa daripada 46 buah keluarga ditempatkan di tiga buah PPS di daerah tersebut setakat pukul 6 petang tadi.

Menurutnya, cuaca hujan berlaku di semua daerah, namun paras air sungai berada pada tahap normal kecuali Sungai Semerak di Jambatan Melor, Bachok menunjukkan bacaan waspada iaitu 7.9 meter.

“Pemindahan mangsa banjir di Pasir Puteh berpunca daripada saliran tersumbat dan tidak dapat menampung hujan yang berterusan.

“Bagaimanapun, semua jalan utama masih boleh dilalui dan keadaan semasa berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, semua daerah sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan situasi banjir yang akan terjadi.

Menurutnya, arahan telah diberikan kepada semua Ketua Polis Balai dan pasukan pemantau untuk sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti mudah dinaiki air.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan sentiasa patuh kepada arahan atau panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI