fbpx

Dewan Rakyat: CCTV lindungi pegawai imigresen daripada tohmahan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan RM54.6 juta untuk perolehan perkhidmatan sewaan televisyen litar tertutup (CCTV) bagi tempoh tiga tahun di 83 Pintu Masuk Antarabangsa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah itu meliputi perolehan bagi pakej Semenanjung Malaysia sebanyak RM36.3 juta serta pakej Sabah dan Sarawak yang turut meliputi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu sebanyak RM18.3 juta.

“Proses perolehan CCTV ini telah bermula pada Oktober 2023. Pemasangan CCTV adalah penting dan kritikal untuk pemantauan keselamatan bagi semua ICQS selaras dengan status kompleks ICQS sebagai kawasan larangan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“CCTV akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan dari mana-mana pencerobohan yang tidak diingini di samping mengawasi keselamatan pengembara yang menggunakan pintu masuk negara. Selain itu, CCTV juga akan membantu memberikan perkhidmatan yang cekap di ICQS Lubok Antu termasuk di kawasan-kawasan terlindung (blind spot).

“Selain itu, CCTV akan membantu dan melindungi pegawai-pegawai yang bertugas daripada sebarang tohmahan awam kerana semua pergerakan dirakam. Ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan reputasi jabatan, melindungi pegawai dan memperkukuhkan integriti semua pihak,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Roy Angau Anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mengenai perancangan kerajaan untuk menambahbaik bangunan ICQS Lubok Antu yang tidak mempunyai CCTV dan akses internet untuk memperkasakan tahap keselamatan di pintu masuk negara.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, buat masa ini terdapat seramai 12 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditempatkan di ICQS Lubok Antu bagi menguruskan kira-kira 5,500 purata pergerakan keluar masuk setiap bulan di ICQS tersebut.

Bagaimanapun, katanya, KDN sedar terdapat keperluan untuk menambah bilangan pegawai di situ apabila ibu negara Indonesia di Nusantara mula beroperasi bagi menjaga keselamatan di pintu masuk negara.

“Pintu masuk negara di Johor pula merupakan antara pintu masuk yang tersibuk di dunia. Kita mempunyai jawatankuasa yang khusus untuk memperinci setiap isu di kawasan berkenaan. Dari semasa ke semasa kita tingkatkan kemudahan dan peralatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI