fbpx
PEGAWAI imigresen yang cedera dalam serbuan di tapak pembinaan di Kulim menerima rawatan di Hospital Kulim semalam.

Pegawai imigresen cedera dalam Ops Sapu di tapak pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Seorang pegawai imigresen mengalami kecederaan sewaktu terlibat dalam operasi penguatkuasaan Ops Sapu di sebuah tapak pembinaan di Padang Meha, di sini semalam.

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kejadian berlaku ketika pasukan operasi menjalankan pemeriksaan di premis tersebut.

Katanya, terdapat cubaan melarikan diri oleh beberapa individu termasuk bersembunyi di kawasan berbahaya seperti bumbung dan mesin menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.
“Ketika operasi dijalankan, pegawai terlibat turut melakukan pencarian dan penggeledahan di kawasan bumbung bagi mengesan saki-baki individu yang bersembunyi.

“Semasa usaha mengawal keadaan dan memastikan keselamatan pasukan, pegawai terbabit terjatuh dan mengalami kecederaan pada tangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pegawai itu diberikan rawatan awal dan dilaporkan stabil sebelum dirujuk ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, seramai 25 pegawai terbabit dalam operasi tersebut yang bermula pada pukul 10 pagi.

“Seramai 155 individu diperiksa dan 119 lelaki terdiri daripada warga China, India, Bangladesh dan Pakistan berusia 20 hingga 58 tahun ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.

JIM memandang serius aspek keselamatan pegawai semasa menjalankan tugas dan akan terus menambah baik prosedur operasi standard bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang.

“Pada masa sama, jabatan kekal komited dalam mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN