fbpx

Beri peluang kedua bidang pendidikan kepada banduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBRISAM Abdul Rahman (dua kiri) diiringi Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi (tengah) mendengar penerangan yang disampaikan selepas beliau merasmikan Program Seminar Koreksional Pembentukan Diri Resilien 2023 di Penjara Seremban hari ini.

SEREMBAN – Jabatan Penjara Malaysia mengalu-alukan lebih banyak institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini untuk tampil bekerjasama dengan jabatan berkenaan bagi menawarkan peluang kedua kepada banduan bagi mendapatkan peluang pendidikan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, peluang itu dapat membuka pintu kepada banduan terlibat untuk mendapatkan pendidikan lebih tinggi, pekerjaan yang lebih baik sekali gus kehidupan yang memuaskan selepas bebas.

Beliau berkata, dalam hal tersebut, setakat ini pihaknya ada menjalankan kerjasama dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Kami memang menggalakkan dan memberi peluang kepada banduan mengikuti kelas akademik. Diharap masyarakat dan majikan juga jangan menolak, beri peluang kedua kepada mereka bagi menyumbang tenaga dan modal insan kepada negara.

“Meskipun diakui banyak majikan gusar untuk mengambil mereka bekerja kerana stigma masyarakat, taraf kelayakan dan pendidikan, namun kita perlu terus bantu dan beri sokongan kepada mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Koreksional Pembentukan Diri Resilien 2023 di Dewan Wawasan, Penjara Seremban di sini hari ini.

Kata Ibrisam, setakat ini program pengajian OUM di Penjara Kajang terdapat seorang banduan sedang menyambung pengajian dalam peringkat doktor falsafah, dua orang peringkat sarjana, tiga orang peringkat sarjana muda dan lima orang mengikuti pengajian diploma.

“Sementara itu seramai 19 orang pelajar mengikuti pengajian peringkat diploma di UPSI dan 47 orang pelajar mengikuti pengajian di Asia College of Exerxice Medicine,” tambahnya.

Kata beliau, selain program kerohanian di penjara, beberapa latihan vokasional turut ditawarkan yang direka khusus untuk mengajar kemahiran berkaitan pekerjaan bagi memenuhi permintaan dalam pasaran kerja tempatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI