fbpx

Pesuruhjaya Sukan serah kepada pihak berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHARDI tidak teragak-agak membuat laporan polis terhadap pihak yang menyebarkan klip audio berniat melaga-lagakan badan induk itu dengan MOM.

PESURUHJAYA Sukan Malaysia (PJS), Suhardi Alias tidak teragak-agak membuat laporan polis terhadap pihak yang menyebarkan klip audio perbinca­ngan tertutup dengan niat melaga-lagakan badan induk itu dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu menjadi topik hangat apabila menyamakan MOM dengan Israel ketika mengadakan mesyua­rat tertutup bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).

Suhardi berkata, maklumat mengenai mesyuarat tertutup itu tidak sepatutnya disebarkan kepada pihak umum kerana ia boleh menimbulkan perselisihan, terutamanya perbualan di luar konteks.

“Saya berpendapat selepas laporan polis ini dibuat, saya akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan tindakan. Saya yakin dengan keupayaan pihak berkuasa.

“Mungkin ia bertujuan melagakan dengan MOM dan saya tidak tahu siapa yang menyebarkan klip audio tersebut. Maklumat yang disebar separuh-separuh ini boleh menimbulkan resah dalam kalangan warga sukan,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil semalam.

Terdahulu, MOM menerusi Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meluahkan rasa terkilan atas tindakan Suhardi yang mengugut untuk membubarkan badan induk sukan negara tersebut.

Suhardi dikatakan membuat tindakan sedemikian selepas beliau mengadakan pertemuan de­ngan dua badan e-Sukan iaitu MEGA dan MESF pada 14 November lalu.

Menerusi satu klip audio berdurasi satu minit 20 saat yang tersebar menerusi aplikasi Whatsapp mendapati Suhardi menyamakan MOM dengan Is­rael ekoran tidak berpuas hati de­ngan isu pendaftaran serta keahlian antarabangsa dua badan e-Sukan berkenaan.

“Saya telah mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Mohd. Najib untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam mengemukakan bantahan terhadap tingkah laku sebegini, jika ia benar berlaku.

“MOM percaya kenyataan sedemikian adalah satu tindakan yang tidak wajar daripada Pesuruhjaya Sukan kerana status MOM selaku badan payung persatuan sukan kebangsaan dijamin dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Kenyataannya, andai ia benar, melambangkan niat jahat daripada Pesuruhjaya Sukan. Walaupun MOM tidak berada dalam perjumpaan berkenaan, ugutan itu dikeluarkan tanpa sebarang sebab,” kata Mohamad Norza dalam satu kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI