fbpx

EPL: Everton tanggung sengsara dipotong mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EVERTON yang menghuni kedudukan ke-14 sebelum ini terjerumus ke tangga ke-19 ekoran pemotongan mata berkenaan. - AFP

LONDON – Everton berdepan hari yang cukup kelam dalam sejarah bola sepak mereka apabila berdepan pemotongan 10 mata selepas didapati bersalah melanggar undang-undang kewangan Liga Perdana Inggeris menyaksikan mereka terjerumus ke zon penyingkiran.

Hukuman tersebut dianggap paling besar dihadapi oleh pasukan dalam sejarah pertandingan tersebut sekali gus menyaksikan skuad kendalian Sean Dyche itu berada di kedudukan ke-19 dengan mengumpul empat mata daripada 12 perlawanan dan kekurangan lima mata untuk meninggalkan kedudukan kelompok tiga pasukan terbawah.

Pihak pengurusan penganjuran EPL telah merujuk pasukan kepada pasukan yang mengalami kerugian dalam lima musim berturut-turut kepada suruhanjaya bebas pada Mac lalu untuk menyiasat kemungkinan wujudnya pelanggaran melibatkan peraturan keuntungan dan keseimbangan (PSRs)

Berdasarkan undang-undang tersebut, kelab hanya dibenarkan untuk mengalami kerugian maksimum sebanyak £105 juta (RM611.16 juta) sahaja untuk tempoh tiga tahun atau mereka berdepan hukuman.

“Pihak kelab mengakui mereka telah melanggar peraturan PSRs untuk tempoh yang berakhir pada musim 2021/2022, tetapi sejauh mana pelanggaran itu dilakukan masih menjadi tanda tanya.

“Selepas lima hari tempoh pendengaran dibuat bulan lalu, pihak suruhanjaya berdasarkan pengiraan menerusi peraturan PSRs telah mendapati Everton mengalami kerugian sehingga £124.5 juta (RM724.66 juta) sekali gus melebihi jumlah yang dibenarkan.

“Justeru, suruhanjaya membuat kesimpulan bahawa kelab tersebut wajar dikenakan pemotongan 10 mata dan hukuman itu berjalan serta merta,” menurut kenyataan dikeluarkan oleh EPL.

Sepanjang sejarah penganjuran EPL, hanya tiga kelab yang dikenakan hukuman pemotongan mata melibatkan Middlesbrough yang dipotong tiga mata apabila gagal bersedia untuk perlawanan menentang Blackburn pada musim 1996/97.

Sementara itu, Portsmouth dipotong sembilan mata pada Mac 2010 kerana penggantungan pihak pengurusan kelab ekoran kebangkrapan, manakala Tottenham Hotspurs dipotong 12 mata ekoran keraguan terhadap akaun kewangan pada musim 1994/95 sebelum hukuman itu dikurangkan kepada enam mata sahaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI