PETALING JAYA – “Tak perlu saya ingat semua ini lagi, apa pun semua ini adalah ketentuan Allah.”
Demikian jawapan ringkas bapa Allahyarham Along Spoon, Shafiee Yusof, 73, ketika ditanya mengenai pembebasan pembunuh anaknya selepas Mahkamah Persekutuan meminda hukuman pemenjaraan sepanjat hayat kepada penjara 33 tahun semalam.
Syafiee yang lebih mesra disapa sebagai Pak Engku berkata, tiada lagi sebarang komen selepas pihak mahkamah membuat keputusan.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya semalam meminda hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang dikenakan terhadap Mohd. Ya’cob Demyati, 57, kepada penjara 33 tahun.
Sebelum ini, Mohd. Ya’cob diperintah menjalani hukuman mati, namun ia diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya sekali gus membebaskannya daripada penjara.
Perkara tersebut disahkan peguam Mohd. Ya’cob, Che Muji Che Noh.
“Insya-Allah, dia bebas hari ini (semalam), 33 tahun (penjara) dari tarikh tangkap pada 4 Januari 2000, satu pertiga daripada cuti dan lain-lain bermakna dia dah serve (menjalani hukuman penjara) 33 tahun,” katanya.