fbpx

Pan-gon setuju kekal hingga tahun 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON diberikan kontrak dua tahun lagi kerana pencapaiannya memacu Harimau Malaya layak ke Piala Asia di Qatar tahun depan secara merit.

HARIMAU Malaya akan terus mendapat sentuhan magis daripada Kim Pan-gon sehingga 2025 apabila jurulatih dari Korea Selatan itu bersetuju untuk kekal bagi tempoh dua tahun lagi.

Berita itu pastinya mengha­dirkan kelegaan buat penyokong setia Harimau Malaya selepas Pan-gon sentiasa me­nyajikan cerita manis sehingga menyaksikan kedudukan Malaysia dalam ranking dunia naik secara drastik.

Mengambil kira komitmen dan tugasan skuad kebangsaan selepas ini, keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu adalah langkah tepat ketika Harimau Malaya bercita-cita untuk muncul 18 pasukan terbaik Asia yang layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

“Ini cabaran untuk membuktikan beliau ada sesuatu yang istimewa bagi terus memacu skuad kebangsaan. Kontraknya sampai 2025.

“Kita memilih Pan-gon kerana beliau seorang yang memiliki banyak pengetahuan selain seorang yang buat kerja,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sejak mula dilantik ­Januari 2022, Pan-gon yang ­diberikan kontrak dua ­tahun tidak ­menunggu lama untuk mengha­dirkan impak termasuk memacu Harimau Malaya layak ke Piala Asia di Qatar tahun depan secara me­rit.

Walaupu tewas 0-2 kepada Tajikistan pada final Pestabola Merdeka, bulan lalu, ia langsung tidak memudarkan keyakinan peminat untuk terus memberi peluang kepada Pan-gon ­melatih Harimau Malaya.

Antara keputusan yang menjadi ‘buah mulut’ peminat negara adalah kejayaan mengikat Syria 2-2, seri 1-1 dengan China dan berkenduri gol 10-0 ketika belasah Papua New Guinea.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI