PETALING JAYA – Kejadian kes dera dan cuai yang berlaku di segelintir pusat jagaan atau taska hingga mengakibatkan kematian mendorong sebahagian wanita mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menjaga anak di rumah.
Sesetengah wanita yang ditemui berkata, walaupun mengalami penyusutan pendapatan isi rumah, mereka berasa aman kerana tidak perlu memikirkan mengenai keselamatan anak ketika berada di tempat kerja hingga boleh menjejaskan prestasi.
Seorang ibu muda dikenali sebagai Intas, 33, berkata, pengalaman pedih yang berlaku ke atas anaknya ketika berada di taska telah membuatkan dia nekad berhenti kerja.
Katanya, badan anaknya cedera akibat didera pengasuh yang pada mulanya disangka bayinya berusia 11 bulan terkena jangkitan tangan, kaki dan mulut.
“Selalu baca berita anak orang didera tetapi apabila terkena pada keluarga sendiri, saya jadi takut. Saya rela hilang gaji RM3,000 sebulan asalkan anak selamat kerana nyawanya lebih berharga,” katanya.
Di Ipoh, Aisyah, 32, sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji RM3,500 sebulan selepas mengalami perasaan risau melampau kerana bimbang keselamatan bayinya yang berusia lapan bulan ketika berada bersama pengasuh.
“Setiap kali ambil anak, saya akan periksa badannya. Walaupun tiada tanda dera, namun saya risau lebih-lebih lagi banyak berita mengenainya.
“Selepas berbincang dengan suami, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja. Lagipun, kami terpaksa menunggu selama empat tahun untuk mendapat anak,” katanya yang sudah lima tahun bekerja.
Menurut Aisyah, ibu dan ahli keluarganya yang lain menentang keputusannya memandangkan gaji suaminya RM1,200 sebulan tetapi setakat ini ia cukup buat mereka tiga beranak.
Bagi Zuraini, 36, dia nekad berhenti kerja sebagai eksekutif di sebuah bank dengan gaji RM5,500 sebulan selepas mendapat anak ketiga.
“Anak sulung dan kedua memang saya hantar ke pengasuh tetapi perasaan cemas mula melanda diri sebaik dapat anak ketiga. Tambah cemas apabila ada anak rakan sekerja yang didera pengasuh,” katanya.
Menurut Zuraini, biarpun pendapatan keluarga tidak seperti dulu, dia tidak kisah kerana keselamatan anak lebih penting baginya.
Di Georgetown, Farisha Amirah Zainal, 25, sanggup melepaskan gaji RM2,500 sebulan sebagai kerani di sebuah kilang selepas anak tunggalnya berusia 10 bulan dilarikan ketika berada dalam jagaan pengasuh.
Katanya, kejadian itu masih menghantui fikirannya walaupun anaknya telah ditemui semula pada malam hari kejadian.
“Sejak itu, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja. Walaupun agak membosankan tanpa kerjaya, namun keselamatan anak lebih diutamakan,” katanya.
Ujar Farisha, dia bertambah nekad apabila banyak membaca berita mengenai penderaan di pusat jagaan.
Di Langkawi, penyelia hotel, Mariah, 38, berkata, dia rela kehilangan ribuan ringgit sebulan kerana tidak percaya pengasuh yang menjaga dua anaknya.
“Kalau saya ada urusan, saya akan minta ahli keluarga menjaga anak. Saya percaya hanya ibu sahaja boleh berikan yang terbaik untuk anaknya.
“Saya buat kerja sambilan seperti memandu e-hailing pada waktu lapang untuk tampung belanja keluarga. Anak ialah anugerah dan sebab itu saya perlu jaganya sendiri.
“Ada orang habis ratusan ribu ringgit untuk mendapatkan anak, jadi bila saya ada anak, saya fikir saya perlu jaga sebaiknya selepas bertarung nyawa membawa janin di dalam perut dan melahirkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Datuk Bakar, Kuah.
Tambahnya, duit boleh dicari tetapi anak tidak boleh diganti.














