fbpx

Johor tetapkan 81km kadar dua marhalah musafir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor mewartakan fatwa yang menetapkan 81 kilometer adalah kadar baru bagi dua marhalah kepada musafir untuk menunaikan solat jamak dan qasar.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata, fatwa itu diwartakan dalam Warta Kerajaan Johor, bertarikh 9 November lalu.

Menurutnya, pewartaan itu dibuat mengikut ketetapan di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 [Enakmen 16 Tahun 2003].

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, atas perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan fatwa yang dinyatakan untuk disiarkan menurut subseksyen 48 (6) enakmen itu.

“Adalah ditetapkan bahawa penentuan kadar dua marhalah bagi musafir untuk menunaikan solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqah lain yang memberi keringanan (rukhsoh) adalah 81 kilometer,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Pada 25 April tahun lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan penetapan kadar dua marhalah adalah 81 kilometer, selepas dilihat dan dibahaskan dengan teliti daripada setiap sudut.

Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan yang dibuat pada mesyuarat jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 bertarikh 16 hingga 17 Februari 2021. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI