PETALING JAYA – Perubahan sikap sang suami yang ‘kepanasan’ ketika berada di rumah selain culas tanggungjawab kepada keluarga membongkar aktiviti terlarangnya sebagai kaki gian.
Si isteri yang mengesyaki sesuatu tidak kena dengan perubahan sikap itu membuat pemeriksaan di dalam telefon bimbit suaminya jika-jika mempunyai wanita lain, namun menemui perbualan mencurigakan dengan seorang lelaki lain.
Suaminya bertanyakan ‘ada sayur? Bagi RM100’ sebelum dibalas oleh lelaki berkenaan akan membuat penghantaran ‘sayur’ pada sebelah malamnya.
Wanita itu yang pelik kenapa suaminya membeli ‘sayur-sayuran’ dengan jumlah banyak mula bertanyakan abang iparnya yang merupakan anggota polis dan membongkar kegiatan suami yang ketagih ganja.
Itu adalah salah satu situasi yang kerap dialami oleh ahli keluarga kepada mat gian tersebut.
Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah berkata, golongan pengedar dan penagih dadah mempunyai bahasa tersendiri bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa dan ahli keluarga.
“Mereka tidak akan menggunakan istilah umum dadah seperti syabu atau heroin sewaktu melakukan urusan terlarang sesama mereka.
“Sebaliknya mereka guna perkataan atau gelaran tertentu untuk dadah yang tidak diketahui kebanyakan masyarakat umum,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Ujar beliau, nama-nama jalanan untuk pelbagai jenis dadah itu umpama ‘kamus dadah’ diguna pakai oleh pengedar dan penagih dadah sejak sekian lama.
Jelasnya, antara istilah itu termasuk ubat dan fit bagi heroin, manakala dam dan bal bagi ganja.
“Heroin turut digelar sebagai tepung, pok teh, serbuk, panas atau cik putih, manakala ganja digelar sebalut, pak husin, hijau, sayur, weed atau mary jane. Syabu pula sejuk, stone, stawberry, batu, ups, ice, kristal, speed atau kuda.
“Erimin 5 (five, naga merah, fai, pacai, pop), manakala ketum yang tertakluk di bawah akta racun pula digelar koroi, air tebu, biak, air power atau corkoroi.
“Kami mengetahui nama-nama dadah ini melalui hasil risikan dan maklumat daripada individu ditahan. Biasanya mereka guna dalam kalangan mereka semasa proses jual beli, nak tolak barang, nak ‘order’ barang. Bila kita baca teks dalam telefon mereka, bahasa itu juga yang mereka guna.
“Kalau mereka kata ‘aku nak beli syabu’ terang-terang orang akan tahu, jadi bahasa dadah ini antara teknik penyamaran mereka,” katanya.
Zainudin menjelaskan, penggunaan nama jalanan untuk pelbagai jenis dadah dalam kalangan pengedar dan penagih itu berbeza-beza mengikut lokasi.
Sebagai contoh, katanya, di selatan tanah air heroin kebiasaannya disebut sebagai panas, tetapi di bahagian Pantai Timur tanah air ia disebut sebagai pok teh.
Menurut beliau, pihaknya juga mendapati gelaran-gelaran dadah dalam kalangan pengedar dan penagih sebagai medium berkomunikasi boleh berubah-ubah.
Ujar beliau, berdasarkan pemerhatian AADK kebanyakan ahli keluarga pengedar atau penagih dadah tidak mengetahui istilah-istilah dadah tersebut.
“Teknik mengesan ahli keluarga terlibat dengan dadah biasanya berdasarkan perubahan tingkah laku, perubahan fizikal atau menemui peralatan mencurigakan di rumah.
“Pengesanan melalui cara mereka bercakap ramai tidak tahu. Mungkin ada bahasa tertentu ibu bapa boleh awasi contoh anak bercakap dengan kawan ‘aku nak pergi ambil ‘panas’ atau ‘sejuk’,” katanya.
Jelasnya, penggunaan bahasa dadah dalam kalangan pengedar atau penagih itu berlaku secara meluas kerana ia disebarkan dalam kalangan mereka.
“Faham dan senang sebut dan semua tahu jadi mereka gunalah bahasa itu,” katanya.
Justeru, beliau turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan, perubahan sikap atau fizikal anak mereka selain memeriksa telefon bimbit anak masing-masing dan penggunaan media sosial bagi memastikan anak-anak tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang memudaratkan masa depan mereka di samping sebagai satu langkah pencegahan awal.
“Mencegah lebih baik berbanding merawat,” tambahnya.














