fbpx

14 hari keluar penjara, diberkas semula terbabit samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA barangan mangsa dan motosikal disyaki digunakan dalam kejadian samun ditemui di lokasi serbuan di Taman Seri Tanjung, Melaka.

MELAKA – Baru dua minggu dibebaskan daripada penjara, seorang lelaki diberkas semula selepas disyaki terlibat dua kes samun di sekitar daerah ini, semalam.

Suspek berusia 30 tahun itu ditangkap bersama dua lagi rakan sejenayah berusia 28 dan 27 tahun pada pukul 9.40 malam di Taman Seri Tanjung di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima satu laporan daripada remaja 19 tahun yang diragut ketika berjalan di kawasan parkir di Jalan Melaka Raya.

“Mangsa sedang berjalan bersama ibunya sebelum didatangi suspek yang menunggang motosikal dari arah belakang. Lelaki itu merentap beg mengandungi komputer riba, komputer tablet dan beg duit.

“Mangsa dan ibunya tidak cedera mereka membuat laporan polis pada pukul 5 petang semalam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hasil risikan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dan Ibu Pejabat Daerah Polis Melaka Tengah kemudiannya mengesan seterusnya menangkap suspek dalam tempoh kurang lima jam.

“Ketika tangkapan dibuat, berlaku pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri. Beberapa barangan milik mangsa dan motosikal dipercayai digunakan suspek semasa kejadian turut ditemui di lokasi.

“Hasil soal siasat ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam dua kes samun yang dilakukan pada hari sama. Mereka mempunyai rekod kes dadah,” ujarnya.

Jelasnya, suspek berusia 30 tahun itu juga baru selesai menjalani hukuman penjara tiga bulan dan dibebaskan pada 30 Oktober lalu.

Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI