fbpx

22 cabang AMK, Amanah Selangor diarah lapor polis terhadap Pemuda Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Izuan (kanan) dan Danial ketika sidang akhbar di lobi DUN Selangor, hari ini

SHAH ALAM – Kesemua 22 cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor diarahkan membuat laporan polis terhadap Pemuda Pas Malaysia yang menyentuh salah satu isu 3R melibatkan kuasa Sultan Selangor berhubung undang-undang syariah negeri.

Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, Pemuda Pas Selangor dalam ciapannya di aplikasi X jelas telah memainkan sentimen kononnya undang-undang syariah di negara ini bakal lenyap.

Malah katanya, lebih mengejutkan mereka memberi bayangan undang-undang syariah telah dicabar secara terancang oleh musuh Islam dan telah berjaya dilakukan di Selangor.

“AMK Selangor ingin menegaskan dan memberikan peringatan kepada Pemuda Pas Malaysia bahawa kes tersebut masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan dan wajar untuk dihentikan kenyataan seperti ini yang boleh diklasifikasikan sebagai subjudis.

“Sebenarnya, bila dapat ini (ciapan Pemuda Pas Malaysia itu), kami telah berbincang dengan barisan peguam dan kita lihat apa yang dibuat ini menyentuh isu 3R iaitu institusi diraja.

“Kita sedia maklum, undang-undang syariah memang dibawah tanggungjawab Sultan Selangor. Jadi, kami (AMK Selangor dan Pemuda Amanah Selangor) akan keluarkan arahan kepada setiap cabang membuat laporan polis terhadap Pemuda Pas Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Muhammad Izuan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara menegaskan, tindakan Pemuda Pas Malaysia yang memperbesarkan isu ini dengan cara menyemarakkan sentimen agama dan memfitnah negeri ini adalah jelas bertujuan bagi mendapatkan pengaruh dan populariti murahan.

Justeru, AMK menggesa Pemuda Pas Malaysia supaya berhenti mempolitikkan isu ini untuk publisiti murahan dan memohon ampun serta maaf kepada Sultan Selangor dengan kadar segera.

“Ini atas fitnah yang sengaja dibuat bagi merendah-rendahkan martabat institusi beraja negeri Selangor yang bertanggungjawab menjaga perihal undang-undang syariah di negeri ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI