fbpx

Siti Bainun: Pendengaran rayuan hukuman kes Bella esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun

KUALA LUMPUR – Pendengaran rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas tuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendengaran rayuan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun, 30, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan wanita itu untuk menangguhkan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan kesalahan tersebut.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dihukum penjara 10 tahun, manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dijel 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.

Sejurus selepas dijatuhi hukuman, Siti Bainun sekali lagi membuat rayuan bagi penangguhan hukuman di Mahkamah Tinggi namun gagal.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selain meneliti secara terperinci hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak sebelum ini.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, alasan yang dikemukakan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara antaranya atas faktor kesihatan, tanggungjawab dan jantina adalah tidak mempunyai merit.

Selanjutnya hakim itu berkata, faktor pemohon merupakan seorang wanita bukanlah suatu keadaan istimewa yang mewajarkan untuknya menangguhkan hukuman penjara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI