fbpx

Ustaz Azhar Idrus pula dilarang ceramah di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Azhar Idrus

GEORGE TOWN – Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus pula didakwa tidak dibenarkan menyampaikan kuliah agama di Pulau Pinang selepas perkara sama berlaku terhadap Ustaz Kazim Elias.

Pendedahan ini dibuat Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Muhammad Jan yang turut mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan semula keputusan penyekatan asatizah itu supaya keharmonian rakyat di negeri ini dipelihara.

Menurutnya, Pas Pulau Pinang mengambil berat isu sekatan terhadap asatizah untuk menyampaikan kuliah di negeri ini yang menggunakan alasan tauliah.

Sedangkan selama ini, jelasnya, masjid dan surau hidup dengan pengimarahan sambil dipantau oleh pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

“Sekatan yang sebenarnya dilihat sangat berunsurkan politik terutamanya daripada pengajar-pengajar yang dikatakan cenderung kepada parti politik pembangkang menggambarkan satu keputusan yang sangat membangkitkan kemarahan rakyat negeri Pulau Pinang.

“Yang terbaru, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus pula menjadi mangsa ketidakbijakan pencatur politik apabila beliau disekat dari menyampaikan kuliah di tiga lokasi di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Oktober lalu, tular video pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias yang mengesahkan beliau telah menerima arahan tidak dibenarkan lagi memberi kuliah di Pulau Pinang selepas 33 tahun berceramah di negeri itu.

Ucapan beliau itu dipercayai dirakam selepas kuliah terakhir beliau di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil, dekat sini hujung Oktober lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menghalang individu tertentu menyampaikan kuliah agama di negeri ini.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam berkata, setiap larangan yang dikeluarkan adalah berdasarkan garis panduan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI