fbpx

Orang ramai bercuti di Langkawi, tiket feri Kuala Kedah-Langkawi habis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur untuk memasuki Terminal Feri Kuala Kedah, Alor Setar untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi, hari ini.

ALOR SETAR – Kesemua tujuh trip perjalanan feri ke Langkawi bagi laluan Kuala Kedah ke pulau peranginan itu pada hari ini habis terjual.

Ia berdasarkan semakan melalui aplikasi jualan tiket feri yang menunjukkan trip pertama pada pukul 7.30 pagi dengan 651 tempat duduk ditempah orang ramai.

Sementara tiket feri bagi perjalanan terakhir dari Kuala Kedah pada pukul 4 petang ini juga sudah dibeli 380 penumpang yang ingin bercuti dan mempunyai urusan di pulau tersebut.

Walau bagaimanapun, tiket feri untuk perjalanan esok masih tersedia.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Feri Kuala Kedah, dekat sini mendapati keadaan trafik tidak terlalu sesak kerana penumpang sudah membeli tiket masing-masing secara dalam talian.

Seorang kakitangan di jeti berkenaan berkata, suasana tidak sesak kerana penumpang sudah membuat pembelian tiket secara dalam talian.

“Sekarang dah mudah, penumpang beli secara dalam talian sahaja, jadi mereka akan tiba di jeti sekurang-kurangnya 45 minit hingga sejam sebelum waktu pelayaran.

“Sebab itu trafik di sepanjang jalan menuju ke jeti tidak lagi sesak seperti dahulu kerana hanya penumpang yang sudah memiliki tiket yang datang ke jeti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang penumpang, Khairi Malik, 40, berkata, dia bersama empat ahli keluarga menaiki feri dari Kuala Kedah kerana tidak sempat membeli tiket feri bagi laluan Kuala Perlis.

“Kalau ikutkan saya memang nak naik di Kuala Perlis kerana lebih dekat jarak perjalanannya tetapi kerana tiket di sana habis saya terpaksa naik di Kuala Kedah.

“Saya memang dah lama bercadang nak bercuti di Langkawi walaupun orang kata kos di sana mahal serta tak ramai orang tetapi bagi saya ini atas pilihan masing-masing,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Bagi Faizal Saad, 44, dari Kuala Lumpur, dia memilih untuk membawa ahli keluarga bercuti ke Langkawi kerana tidak memerlukan dokumen perjalanan seperti ke Hatyai, Thailand.

“Anak saya empat orang belum ada pasport, kalau baru nak buat memang perlu kos tambahan jadi saya bawa mereka bercuti di Langkawi sahaja kerana isteri saya pun suka berkunjung ke sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI