fbpx

Marquez lakar kejutan menang Sprint

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelumba Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez meraikan kemenangan pada Perlumbaan Sprint Grand Prix Malaysia, di Litar Antarabangsa Sepang, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

SEPANG – Di sebalik perebutan kejuaraan dunia antara pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dan Jorge Martin dari Pramac Racing, pelumba Gresini Racing, Alex Marquez mencuri tumpuan apabila berjaya memenangi perlumbaan Sprint pada Grand Prix (GP) Malaysia sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, Marquez menamatkan perlumbaan 10 pusingan itu sebagai juara dengan mengenepikan cabaran daripada Martin dan Bagnaia.

Walaupun memulakan saingan di petak keempat, namun pelumba Sepanyol itu berpegang teguh dengan misinya untuk memenangi perlumbaan Sprint dan ia membuahkan hasil apabila dia berjaya memastikan 12 mata menjadi miliknya.

“Hari ini saya memang menggalas misi untuk menang perlumbaan Sprint, esok saya fikir ada peluang (menang) juga kerana jentera cukup pantas dan sangat bagus. Saya gembira kerana dapat melakukannya.

“Bagi saya, semuanya berjalan dengan sempurna hari ini kerana dapat bersaing dengan pelumba-pelumba hebat seperti Pecco (Bagnaia) dan Jorge (Martin). Saya harap kami boleh kekalkan rentak seperti ini hingga ke Valencia,” kata Marquez selepas tamat saingan.

Sementara itu, perebutan kejuaraan dunia juga bertambah menarik apabila Martin dan Bagnaia masing-masing menamatkan acara Sprint di kedudukan kedua dan ketiga, sekali gus menyaksikan mereka hanya dibezakan 11 mata ketika ini.

Justeru, baki tiga perlumbaan musim ini termasuk GP Malaysia, Qatar dan Valencia bakal menjadi penentu siapakah yang akan dinobatkan sebagai juara dunia bagi saingan 2023.

“Perlumbaan (sprint) yang sangat menakjubkan dan saya dapat rasakan jentera cukup laju. Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi jentera dan cuba untuk mengejar pelumba di hadapan pada aksi sprint tadi,” ujar Martin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI