fbpx

Lembu betina mati terkeluar janin dibaham harimau belang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aris melihat bangkai lembu betina ternakannya dipercayai dibaham harimau belang di kawasan kebun di Kampung Kundur, Gua Musang semalam. - Foto oleh AIMUNI TUAN LAH / KOSMO!

GUA MUSANG – Seorang penternak lembu terkejut selepas menjumpai seekor lembu betina bunting peliharaannya mati dan terkeluar janin dipercayai dibaham harimau belang di kawasan kebun di Kampung Kundur di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, bangkai lembu tersebut ditemui dalam keadaan menyedihkan kerana bukan sahaja terkeluar janin, tetapi terdapat kesan kecederaan pada leher dan cakaran kuku harimau belang.

Pemilik lembu, Aris Awang, 53, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan penternak lain yang melalui kawasan berkenaan untuk ke kebun.

Katanya, lembu betina itu kemungkinan diserang harimau belang kira-kira pukul 5.30 pagi hingga 6 pagi semalam kerana ia dijumpai dalam keadaan masih berdarah dan tidak berbau.

“Saya mendapati bangkai lembu tersebut beralih hingga ke pinggir bukit dan bangkai janin lembu juga telah tiada dipercayai dimakan harimau berkenaan pagi tadi.

“Kira-kira pukul 11 pagi tadi, saya telah ke lokasi lembu dan mendapati bangkai anak lembu telah tiada selain bangkai lembu betina juga telah diheret sejauh kira-kira 50 meter dari tempat diserang di kawasan pinggir bukit.

“Saya percaya harimau itu tidak dapat mengheret bangkai ke atas bukit,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kundur di sini hari ini.

Kesan tapak kaki harimau yang ditemui di kawasan kebun di Kampung Kundur, Gua Musang hari ini. – Foto oleh AIMUNI TUAN LAH / KOSMO!

Aris memberitahu, ia merupakan kejadian pertama sejak dia mengusahakan ternakan lembu lebih lima tahun lalu.

“Sebelum ini, kita pernah melihat kelibat harimau berdekatan kandang lembu, tetapi tiada kejadian serangan yang berlaku,” katanya.

Seorang lagi pekebun, Mohd. Faizul Mohd. Nor, 35, berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan lebih banyak ternakan terkorban akibat serangan haiwan buas tersebut.

Katanya, pihak Perhilitan telah dimaklumkan tentang kejadian itu dan anggotanya juga ke lokasi serangan harimau itu untuk membuat siasatan lanjut.

“Kami takut sekiranya lebih banyak serangan berlaku. Semakin lama semakin banyak haiwan ternakan mati.

“Selain itu, pekebun dan penternak juga takut untuk keluar bekerja kerana harimau itu masih berkeliaran. Masih terdapat kesan tapak kaki harimau ditemui hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berharap Perhilitan dapat mengambil tindakan segera sebelum perkara tidak diingini berlaku kepada lebih 50 pekebun di kawasan itu.

Katanya, tindakan susulan seperti pemasangan perangkap dan pemantauan daripada anggota Perhilitan perlu dilakukan bagi meredakan kebimbangan penternak dan pekebun di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI