fbpx

Ikan mahal, orang Terengganu cari ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL RAHMAN ketika menunggu pelanggan di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Harga beberapa ikan ‘rakyat’ di pasar-pasar basah di bandar raya ini dan Kuala Nerus mula mengalami kenaikan sehingga 15 peratus sejak awal minggu ini ekoran keadaan laut yang semakin bergelora akibat peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Tinjauan Kosmo! di Pasar Cabang Tiga, di sini mendapati, ikan selayang yang sebelum ini berharga RM6 sekilogram (kg) kini meningkat kepada RM10/kg, manakala kembung pula RM20/kg daripada RM17/kg.

Ikan selar pula yang sebelum ini berharga RM16/kg kini RM20/kg, ikan kerisi pula berharga RM18/kg daripada RM13/kg.

Seorang peniaga, Abdul Rahman Ali, 40, mendakwa, peningkatan itu disebabkan cuaca yang semakin tidak menentu ekoran peralihan MTL yang dijangka bermula hari ini.

“Harga ikan kini menunjukkan trend menaik ekoran laut sudah mula bergelora akibat peralihan monsun menyebabkan bekalan semakin berkurangan.

“Situasi itu mendorong kenaikan harga ikan sejak Isnin termasuk cencaru (RM12/kg) dan pelaling (RM15/kg), namun ikan tongkol kekal RM10/kg,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Seorang peniaga, Abdul Halim Mat, 47, mendakwa, harga ikan dijangka terus melambung sepanjang bulan ini susulan ramalan luruan monsun yang kuat dan laut bergelora.

“Walaupun mengalami kenaikan, harga ikan di Terengganu sebenarnya masih rendah dan berkualiti berbanding kebanyakan negeri lain di seluruh negara.

“Begitupun, saya akui jualan ikan semakin merundum hampir 50 peratus sejak berlakunya kenaikan ini,” dakwanya.

Dia percaya ia juga disumbang trend pengguna mula beralih kepada ayam segar yang sudah makin murah sejak minggu lalu.

SEORANG pekerja sedang memasukkan ikan ke dalam tong di kedainya di Peringat, Kota Bharu semalam.

Di Kota Bharu, situasi agak berbeza dengan di Terengganu sejak seminggu lalu apabila ke­seluruhan harga ikan turun antara RM2 hingga RM4 sekilogram.

Seorang peniaga, Mohd. Aza­limin Ariffin, 37, berkata, walaupun harga ikan murah, jualan harian masih berkurangan berikutan tiada sambutan daripada pelanggan.

Katanya, harga ikan mula turun sejak seminggu lalu dan berlaku lambakan kerana orang ramai tidak keluar membeli berikutan langkah berjimat-cermat.

“Harga ikan selayang sebelum ini RM14 sekilogram (kg) turun kepada RM5/kg, manakala ikan kerisi sebelum ini RM18/kg turun kepada RM14.

“Ikan kembung pula sebelum ini RM16 turun kepada RM12,” katanya ketika ditemui di kedainya Kampung Padang Kala, Peringat semalam.

Katanya, rata-rata pembeli terkejut apabila harga murah walaupun musim tengkujuh sudah bermula.

“Saya difahamkan, kebiasaannya musim tengkujuh harga ikan akan melambung kerana nelayan tidak keluar ke laut.

“Biasanya masa harga mahal bekalan ikan di kedai saya habis dijual, tetapi minggu ini berlaku lambakan,” ujarnya.

Seorang pembeli, Fatimah Yaacob, 50, berkata, kebetulan harga ikan murah dia membeli dengan jumlah yang banyak untuk bekalan musim tengkujuh.

“Saya bimbang harga ikan ini akan naik semula minggu depan. Walaupun harga murah, saya tetap membeli ikan selayang ke­rana ini sahaja yang mampu,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI