fbpx

Utamakan perunding tempatan – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADNAN MAT

PETALING JAYA – Kerajaan dicadang supaya memberi keutamaan kepada pakar tempatan sedia ada di universiti awam dan swasta dalam menawarkan program latihan yang bersesuaian dalam mengendalikan program latihan penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri itu, namun berharap kerajaan tidak terlalu bergantung kepada konsultan atau perunding asing.

“Kebergantungan kepada konsultan asing bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi, malah dibimbangi latihan yang diberikan tidak dapat dipraktikkan dalam konteks keperluan negara.

“Nilai (peruntukan) RM40 juta itu merupakan ‘pelaburan’ penting kerana penjawat awam adalah tulang belakang yang menjadi pelaksana kepada dasar yang dirangka untuk kemajuan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Adnan, penglibatan penyedia latihan tempatan daripada institusi pengajian tinggi (IPT), syarikat swasta atau agensi kerajaan sendiri mampu memberikan impak terbaik terhadap pelaburan yang dibuat kerajaan.

“Agensi yang diberi tanggungjawab untuk menyediakan program latihan kepada penjawat awam perlu membuat proses penilaian dengan teliti agar tidak berlaku pembaziran kepada dana awam.

“Keperluan setiap negara adalah berbeza dan penglibatan kumpulan profesional tempatan sudah tentu lebih diyakini dalam memberi impak kepada program latihan penjawat awam,” katanya.

Pada masa sama, Cuepacs turut berharap penjawat awam menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk meningkatkan kemampuan diri masing-masing.

“Jangan pernah berasa selesa dengan tanggungjawab, sebaliknya sentiasa mempunyai keinginan untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan.

“Jika terpilih, penjawat awam perlu guna sepenuhnya peluang ini bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat dan negara,”

Langkah itu selari dengan komitmen kerajaan untuk memperkasakan perkhidmatan awam agar terus relevan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada sektor ekonomi dan rakyat.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan sehingga RM40 juta bagi melatih penjawat awam muda termasuk menghantar mereka ke universiti terkemuka di luar negara untuk mengasah kemahiran dan kepakaran baharu bagi meningkatkan tahap keupayaan dalam mengendali program kerajaan pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI