fbpx

Penagih ditahan ketika mencuri kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN peralatan mencuri kabel serta kabel yang ditemui pada semua suspek ketika ditahan di Rumah Rehat Kerajaan di Jalan Pejabat di Bandar Kluang, semalam.

KLUANG – Tiga orang lelaki warga tempatan dipercayai penagih dadah ditahan ketika cuba mencuri kabel elektrik di kawasan Rumah Rehat Kerajaan di Jalan Pejabat dekat bandar ini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, penahanan suspek dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi itu melibatkan suspek berusia 20 hingga 32 tahun.

Katanya, hasil semakan mendapati dua daripada suspek itu masing-masing mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik.

“Bagaimana pun, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Semua suspek kemudiannya dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bahrin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang bekerja sendiri melakukan kegiatan mencuri kabel secara kecil-kecilan itu dipercayai untuk mendapatkan kos bagi menampung perbelanjaan membeli dadah bagi memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Ujarnya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan perkara disyaki melibatkan jenayah di kawasan penempatan masing-masing diharapkan dapat menghubingi mana-mana balai polis berhampiran atau talian terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, 07-7784222, 07-7784256, Hotline : 07-7766822, Tablet DCC 014-365682.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI