fbpx

Muslihat buang santau, bomoh rogol anak jiran hingga hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZEMI RAHIM dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas dituduh merogol dan amang seksual anak jirannya, antara November 2022 hingga Julai lalu.

MUAR – Seorang lelaki yang mengaku dirinya seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sehingga hamil, antara November tahun lalu sehingga Julai tahun ini.

Tertuduh, Zemi Rahim, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga merupakan anak kepada jiran.

Perbuatan keji itu dilakukan tertuduh di dalam sebuah bilik air sebuah rumah di Kampung Tengah Paya Redan, Pagoh di sini, November 2022.

Kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum Seksyen 14 akta yang sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua hingga keempat, lelaki itu didakwa merogol remaja itu di tempat yang sama, antara November 2022, April dan Julai 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Daniel Munir tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan dilakukan lelaki yang juga mengaku seorang jurulatih Muay Thai adalah serius.

Dalam hujah pendakwaannya, hubungan antara tertuduh dan mangsa adalah sebagai pengamal perubatan dan pesakit yang mana perbuatan terkutuk tertuduh itu telah menyebabkan mangsa hamil empat bulan.

Bagaimanapun ujarnya, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, Danial mencadangkan jumlah jaminan RM7,500 bagi setiap pertuduhan serta beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak berkomunikasi dengan mangsa.

Irwan kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan dan membenarkan syarat tambahan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan lantikan peguam.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas tuduhan mencabul seorang pelajar perempuan lain dengan alasan untuk membuang ‘pendamping’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI