fbpx

Isu buli MCKK: PIBG buat laporan, pihak tular berdepan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasshahari (tiga dari kiri) bersama wakil PIBG MCKK tampil buat laporan polis berhubung penularan kes buli di sekolah terbabit. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) tampil membuat laporan polis berhubung tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli di sekolah berkenaan.

Peguam wakil PIBG MCKK, Hasshahari Johari Mawi berkata, pihaknya perlu membuat laporan polis berikutan isu ini dilihat semakin tidak terkawal selepas kejadian tular beberapa minggu lalu.

“Perkara ini ditularkan beberapa minggu lalu dan telah menjadi di luar kawal sehingga hari ini. Satu tindakan perlu diambil PIBG (laporan polis) sebagai reaksi terhadap ancaman serta ugutan diterima kepada anak-anak, ibubapa, penjaga serta guru-guru.

“Kita berharap dengan laporan ini orang ramai akan berhenti mengeluarkan hantaran, komen berunsur fitnah mahupun ugutan terhadap mana-mana pihak di MCKK,”katanya ketika sidang akhbar bersama beberapa wakil PIBG MCKK di hadapan Balai Polis Travers, di sini, hari ini.

Menurut Hasshahari, pihaknya juga mendapat arahan bagi meneruskan arahan perintah tegahan (gag order) memandangkan terdapat hantaran yang berunsur fitnah dan fakta tidak benar telah dibuat oleh beberapa pihak.

“Ada beberapa hantaran serta individu telah dikenal pasti dan akan diambil tindakan. Mengenai hantaran yang dibuat, terdapat tiga individu berbeza terlibat iaitu di Instagram dan Facebook yang merupakan ‘sumber’ kepada penularan kes ini.

“Kita telah mengumpulkan hantaran-hantaran ini dan serahkan kepada pihak polis. Kemungkinan besar individu terlibat akan dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),”jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan PIBG MCKK menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa dalam pengurusan sekolah berhubung kes buli melibatkan pelajar sekolah itu.

Dalam satu kenyataan PIBG MCKK, tindakan menularkan kes tersebut memberi impak besar dan membawa imej buruk kepada MCKK secara keseluruhannya.

“PIBG MCKK ambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4 sekiranya keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah ke atas murid yang terbabit tidak diubah.

Dalam hal yang berkaitan, PIBG MCKK menghormati pendirian pihak sekolah dan pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4,” menurut kenyataan dikeluarkan pada Ahad lalu.

Pihak tersebut turut memaklumkan, kes disiplin itu selesai disiasat dan diambil tindakan pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI