fbpx

Jualan domestik MTIB disasarkan RM20 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LARRY (kiri) melihat ukiran kayu ketika melawat pameran Wood & Lifestyle Fair Wilayah Selatan 2023 di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yakin dapat mencapai jualan nilai pasaran domestik berjumlah RM20 bilion menjelang 2025 walaupun berdepan pasaran jualan perlahan tahun ini.

Pengerusi MTIB, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kelembapan jualan yang direkodkan sejak awal tahun hingga Ogos lalu disebabkan pembukaan pelbagai sektor ekonomi lain pasca pandemik termasuk pelancongan.

Menurutnya, pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi melihatkan trend pembelian pengguna beralih ke industri lain selain perabot kayu.

“Jualan tahun ini memang agak perlahan berbanding tahun lalu, situasi ini bagaimanapun bukan melibatkan industri pera­bot kayu tempatan sahaja tetapi juga di peringkat global. Namun kami percaya jualan tahun depan akan kembali meningkat, trend peningkatan itu sudah kelihatan.

“Jadi sasaran ditetapkan menerusi Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) 2021-2025 yang menyasarkan eksport industri perkayuan sebanyak RM28 bilion dan nilai pasaran domestik berjumlah RM20 bilion menjelang 2025 akan kita usahakan.

“Jika orang tempatan memberikan sokongan kepada industri ini, saya percaya kita boleh capai sasaran jualan ditetapkan itu,” katanya pada Majlis Penutupan Wood and Lifestyle Fair (WLF) Wilayah Selatan 2023 di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) MTIB, Saiful Bahri Salleh.

Tambah Larry, sektor perkayuan tempatan disokong jualan domestik sebanyak 60 peratus, manakala 40 peratus lagi melibatkan pasaran eksport.

“Tahun ini Malaysia berada pada kedudukan ke-14 dunia bagi negara pengeluar kayu perabot, jadi kita merupakan antara pemain utama dalam industri ini di peringkat global.

“Bagi memastikan kita dapat capai sasaran ditetapkan menjelang 2025, MTIB giat mempromosikan penggunaan kayu melalui pelbagai kempen termasuk di media serta penglibatan dalam pameran tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Tambah beliau, penganjuran WLF juga merupakan antara inisiatif dilaksana bagi mempromosikan penggunaan perabot kayu kepada pasaran domestik.

“Tahun ini, kita telah adakan pameran WLF di Putrajaya dan Pahang, manakala untuk kali ini ia diadakan di Johor Bahru. Penganjuran pertama WLF ialah pada tahun 2016 dan sehingga kini ia telah pun memasuki edisi yang ke-37.

“Sejak itu, WLF telah menjana jualan bernilai RM53.5 juta setakat Mac lalu,” jelasnya lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI