fbpx

Kerajaan Perpaduan tidak terdesak raih sokongan Ahli Parlimen PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin.

KULIM – Kerajaan Perpaduan tidak berada dalam keadaan tergugat sehingga terdesak memerlukan sokongan daripada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan pembangkang kononnya berlaku perubahan sokongan melibatkan Ahli Parlimen mereka disebabkan ugutan merupakan satu tohmahan.

Katanya, kerajaan amat mengalu-alukan apabila terdapat wakil rakyat PN menyatakan sokongan terhadap mereka, namun menafikan perkara itu berlaku disebabkan daripada ugutan.

“Kerajaan bergerak macam biasa, tak ada sebarang masalah. Daripada sudut tahap sokongan yang ada sekarang pada kedudukan sangat meyakinkan.

“Semalam berlaku undian Belanjawan 2024 di peringkat dasar, lulus dengan begitu sahaja (mudah) dan berikutnya (akan dibuat) di peringkat jawatan kuasa.

“Jadi tak ada keperluan mendesak, tak ada apa-apa gugatan terhadap kedudukan kerajaan yang ada sekarang,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Geran Prihatin Komuniti Jabatan Pendaftar Pertubuhan (Jppm) peringkat Zon Utara, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa terdapat percubaan daripada blok kerajaan untuk menghasut Ahli Parlimen PN bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwanya, beberapa wakil rakyat PN didatangi seorang ahli perniagaan dengan cubaan untuk mengikat mereka ke dalam perbincangan mengenai pertukaran sokongan di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menempelak tuduhan tidak berasas itu kerana tiada sebarang bukti dikemukakan pembangkang.

Katanya, Perdana Menteri juga menyebut di Parlimen sebelum ini bahawa ia adalah tuduhan serius yang pembuktiannya perlu dibuat bagi mengesahkan ugutan itu.

“Pihak yang mendakwa kena datangkan bukti, hari ini bila media tanya (Hamzah) jawapannya adalah sedang mengumpul. Kalau itu maknanya belum sahih, belum pasti jadi. Kalau sedang kumpul (bukti) jangan buat tohmahan dulu, tunggu sehingga ada bukti wujudnya ugutan.

“Di pihak Kementerian Dalam Negeri, polis sendiri pun tak ada aduan berkenaan dakwaan itu. Jadi bola sebenarnya di gelanggang Datuk Seri Hamzah dan PN untuk mendatangkan bukti,” katanya.

Saifuddin sebaliknya berkata, gerakan-gerakan seperti didakwa pembangkang itu adalah ‘kerja’ Hamzah ketika menjatuhkan kerajaan melalui Langkah Sheraton pada 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI