fbpx

K2

Mengapa rasuah masih berlaku?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SALAH satu fraud yang terbesar dalam sektor kerajaan dan swasta adalah rasuah.

Jenayah ini amat berbahaya kerana membuka jalan kepada berlakunya jenayah lain.

Sebagai contoh, penguat kuasa yang menerima rasuah dan melepaskan pengedar dadah sekali gus menyebabkan bahan terlarang itu dapat dijual di pasaran gelap.

Pistol dibawa masuk bermodalkan ‘minyak pelincir’ serendah RM50 yang diberikan kepada pegawai di sempadan, mungkin mengakibatkan rompakan bersenjata yang mengorbankan nyawa.

Dalam sektor pembinaan, rasuah menyebabkan sesebuah bangunan dibina tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Akhirnya, mengakibatkan bangunan tersebut tidak selamat digunakan.

Mengapa rasuah berlaku? Gaji rendah sudah semestinya bukan faktor utama seseorang itu terlibat rasuah.

Buktinya dapat dilihat melalui laporan media setiap hari. Penjenayah rasuah terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

Rata-ratanya mempunyai jawatan dan kedudukan tertentu dalam sektor kerajaan dan swasta.

Faktor yang mendorong seseorang itu terlibat jenayah kolar putih seperti fraud dan rasuah dijelaskan melalui Model Segi Tiga Fraud dan Model Berlian Fraud.

Model Segi Tiga Fraud (Fraud Triangle) dibangunkan pada tahun 1953 oleh seorang ahli kriminologi Amerika Syarikat bernama Dr. Donald R. Cressey.

Menurut model ini, seorang manusia biasa akan terdorong melakukan fraud kerana mempunyai peluang, tekanan dan rasionalisasi (akal).

Pada tahun 2004, Model Segi Tiga Fraud dikembangkan oleh Wolfe dan Hermanson dengan menambah satu lagi faktor iaitu keupayaan individu terbabit.

Model baharu ini dikenali sebagai Model Berlian Fraud (Fraud Diamond).

Model Segi Tiga Fraud dan Model Berlian Fraud boleh digunakan untuk menjelaskan ‘mengapa’ dan ‘bagaimana’ seseorang itu terlibat dengan jenayah rasuah.

Secara ringkasnya, faktor yang mendorong seseorang itu terjebak dengan rasuah adalah seperti berikut:

Faktor pertama adalah kemampuan untuk melakukan rasuah. Dengan kata lain, rasuah tidak akan berlaku sekiranya pelaku tiada keupayaan untuk melakukannya.

Kemampuan wujud apabila seseorang itu mempunyai kedudukan dan kuasa dalam organisasi, mempunyai pengetahuan untuk memanipulasi proses kerja, memiliki keyakinan bahawa perbuatan beliau tidak akan dikesan atau ditangkap dan keupayaan untuk mengatasi kerisauan akibat tindakan salah yang dilakukan.

Faktor kedua adalah peluang yang ada di depan mata. Seseorang itu cenderung melakukan rasuah apabila melihat ‘jalan’ untuk melakukannya, dengan risiko rendah untuk ditangkap.

Peluang wujud kerana kelemahan kawalan dalaman, karenah birokrasi, tiada pemantauan, tiada sistem pengasingan tugas dan penggunaan budi bicara yang luas.

Contohnya, prosedur permohonan yang mempunyai banyak lapisan (birokrasi atau red tape) sebelum diluluskan sehingga menyebabkan urusan menjadi lambat.

Rata-rata penerima rasuah gelap mata apabila ditawarkan sejumlah wang yang banyak kepada mereka. – Gambar hiasan

Keadaan itu membuka peluang kepada pelanggan yang ingin cepat untuk menawarkan rasuah.

Begitu juga sekiranya prosedur terlalu kompleks sehingga menyebabkan ada pegawainya menawarkan ‘bantuan’ untuk memudahkan proses dengan bayaran tertentu.

Faktor ketiga adalah tekanan, sama ada tekanan kewangan atau tekanan kerja.

Masalah kewangan boleh terjadi akibat tindakan seseorang individu itu yang mengamalkan gaya hidup mewah, terlibat dengan ketagihan dadah, alkohol dan berjudi.

Mungkin juga disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup, terutamanya bagi mereka yang mempunyai isteri dan anak ramai.

Tekanan kerja pula boleh berlaku apabila seseorang itu beranggapan bahawa kerja yang dibuat tidak setimpal dengan gaji.

Atau tidak setimpal dengan penilaian diberi oleh pegawai atasan.

Dalam dunia perniagaan yang penuh dengan persaingan, rasuah digunakan untuk memastikan sesuatu projek atau tender berjaya diperolehi.

Rasuah dilakukan bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi desakan untuk meneruskan kelangsungan sesebuah syarikat.

Faktor keempat adalah rasionalisasi terhadap perbuatan mereka. Orang yang melakukan rasuah tidak melihat diri mereka sebagai penjenayah.

Sebaliknya, merasakan mereka adalah orang biasa yang jujur, tetapi terperangkap dalam keadaan yang salah. Mereka mewajarkan perbuatan salah dengan alasan kelihatan logik.

Contoh rasionalisasi yang biasa adalah, ‘ini bukan salah saya. Saya tiada pilihan. Tuhan pasti akan mengampunkan saya’, ‘semua orang buat benda ni’, ‘orang nak bagi, ambil jer la. Bukan saya minta pun’, ‘bos pun ambil rasuah. Tak kan saya tak boleh’, dan ‘saya buat kerana terdesak.

Saya kena bantu keluarga saya yang miskin’.

Memahami faktor-faktor pendorong ini membolehkan seseorang itu melaksanakan langkah pencegahan secara kendiri.

Mengelakkan diri daripada terjebak dalam jenayah merupakan komitmen diri sendiri, disokong dengan tadbir urus baik dalam organisasi.

Rakan-rakan yang saling menasihati amat membantu, terutamanya ketika berada dalam dilema.

Pada masa sama, seseorang itu mesti menguruskan tekanan kerja dan kewangan dengan baik.

Majikan dan organisasi pula berperanan dalam mengukuhkan sistem dan prosedur kerja agar peluang untuk rasuah berlaku dapat ditutup.

Pekerja mesti diingatkan agar tidak menggunakan rasuah untuk melicinkan sesuatu urusan.

Majikan juga perlu sentiasa mendidik pekerjanya agar menolak sebarang pemikiran yang merasionalisasikan tindakan jenayah.

Akhir sekali, benteng pencegahan terakhir adalah integriti diri seseorang itu. Harus diingat, tiada yang dapat mengubah diri kita, kecuali kita sendiri.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI