fbpx

Hujan punca denggi naik 265 peratus di Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Musim hujan berterusan menyumbang kepada peningkatan kes denggi sehingga 265 peratus sejak September hingga 21 Oktober lalu di sini iaitu 1,504 kes berbanding 312 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, jumlah tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kes kematian.

Menurutnya, sehingga 28 Oktober lalu, sebanyak 14 lokaliti wabak terkawal dan tiga lokaliti wabak tidak terkawal telah dilaporkan.

“Sebanyak lima lokaliti lagi telah menjadi lokaliti hotspot iaitu Taman Cempaka sebanyak 24 kes yang dijangka tamat pada 8 November, Bandar Baru Putra 18 kes (dijangka tamat 9 November) serta Taman Sinfar 12 kes (dijangka tamat 6 November).

“Dua lagi ialah di Medan Klebang Restu sebanyak lapan kes (dijangka tamat 9 November) dan RPA 2, Ulu Kinta 4 kes (dijangka tamat 6 November),” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rumaizi berkata, warga bandar raya Ipoh diseru supaya terus mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan denggi.

“Luangkan masa sekurang-kurangya 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan di luar persekitaran rumah kediaman,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah membantu dalam program gotong-royong kendiri terutama aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan melalui program yang telah dianjurkan bersama oleh Ahli Majlis dengan kerjasama komuniti setempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI